SEBAHAGIAN peserta berarak ke Dataran Merdeka ketika menyertai perhimpunan Keluar dan #Lawan di Kuala Lumpur. FOTO Aizuddin Saad
SEBAHAGIAN peserta berarak ke Dataran Merdeka ketika menyertai perhimpunan Keluar dan #Lawan di Kuala Lumpur. FOTO Aizuddin Saad
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Individu yang menyertai perhimpunan 'Keluar dan #Lawan' di Dataran Merdeka di sini, hari ini, akan dikenal pasti untuk memberi keterangan dalam dalam masa terdekat.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, siasatan lanjut berhubung perhimpunan itu sedang dijalankan.

"Jika cukup keterangan, individu berkenaan akan dikenakan tindakan kompaun di atas kesalahan mengikut Seksyen 21A Akta 342 dan Peraturan 17 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPDPB) (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Pelan Pemulihan Negara) 2021.

"Dianggarkan seramai 450 individu berkumpul di Dataran Masjid Jamek pada jam 11.30 pagi, kumpulan ini berarak melalui Jalan Tun Perak menuju ke Jalan Raja sambil membawa kain rentang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, ratusan individu berarak dari Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Masjid Jamek menuju ke Dataran Merdeka, hari ini.

Kumpulan itu yang memakai baju hitam, antara lain dilihat membawa bendera hitam, sepanduk menzahirkan protes dan replika jenazah.

Polis dilihat turut melakukan pemantauan dari udara menggunakan helikopter, selain menutup beberapa laluan menuju ke Dataran Merdeka.

Sementara itu, Azmi berkata, pihaknya juga mengesan satu video tular berdurasi 14 saat memaparkan perarakan beramai-ramai di jalan raya yang dikatakan berlaku di Kuala Lumpur.

"Semakan polis mendapati kejadian itu tidak berlaku di Kuala Lumpur dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak menularkan sesuatu perkara yang tidak sahih kerana dikhuatiri menimbulkan kegusaran masyarakat.

"Polis menasihatkan orang ramai supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan tidak terbabit dengan sebarang perhimpunan memandangkan ancaman pandemik Covid-19 yang masih melanda negara kita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Julai 2021 @ 10:48 PM