ORANG ramai menaiki MRT selepas kerajaan membenarkan beberapa sektor ekonomi beroperasi seperti suslan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). FOTO Hairul Anuar Rahim
ORANG ramai menaiki MRT selepas kerajaan membenarkan beberapa sektor ekonomi beroperasi seperti suslan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). FOTO Hairul Anuar Rahim
Murnaena Muhammad Nasir


TIADA kesesakan di stesen Transit Aliran Massa (MRT) ketika tinjauan susulan keputusan kerajaan membenarkan hampir kesemua sektor ekonomi beroperasi semula mulai hari ini.

Tinjauan seawal 7 pagi tadi mendapati penumpang MRT mematuhi jarak sosial satu meter yang ditetapkan di depan kaunter pengimbas kad, dalam tren dan tempat menunggu.

Pemeriksaan suhu badan juga dilakukan ketika waktu kemuncak orang ramai menggunakan perkhidmatan tren berkenaan.

Wartawan turut melihat penumpang di dalam tren mematuhi arahan berdiri di pelekat merah dan tidak duduk pada kerusi yang ditanda.

Selain itu, pembersihan juga kerap dilakukan di tempat menunggu setiap satu jam.

Pekerja dan anggota polis bantuan yang ditugaskan di setiap stesen MRT juga kerap membuat rondaan bagi memastikan penumpang mematuhi jarak sosial yang ditetapkan.

Pekerja perbankan Faris Akmal Abdul Aziz berkata, inisiatif RapidKL melaksanakan Kawalan Pergerakan Penumpang meyakinkan dia untuk menggunakan perkhidmatan awam itu.

"Saya memang tidak cuti kerana syarikat di bawah kategori perkhidmatan perlu (essential services).

"MRT dan Transit Aliran Ringan (LRT) antara pengangkutan pilihan utama untuk ke tempat kerja kerana lebih cepat sampai ke destinasi memandangkan saya tinggal jauh di Klang," katanya.

Dia yang menggunakan MRT sejak hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mengakui penumpang lebih ramai berbanding sebelum ini terutama di LRT laluan Kelana Jaya.

"Selama 47 hari perintah berkurung, MRT sunyi dengan kekurangan penumpang tetapi hari ini sudah mulai ramai tetapi tidak sesak seperti sebelum PKP.

"Tidak akan jadi masalah jika semua penumpang mematuhi arahan penjarakan sosial yang dilaksanakan RapidKL dan sama-sama kita bertanggungjawab membanteras penyebaran wabak Covid-19," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mei 2020 @ 1:16 PM