Ahmad Dzaffir Mohd Yussof
Ahmad Dzaffir Mohd Yussof
Ahmad Hasbi


Seremban: Sebanyak 28 kertas siasatan mengikut Akta Pemberi Pinjam Wang Tanpa Lesen dibuka pihak polis Negeri Sembilan sejak Januari hingga April lalu.

Ia membabitkan kes ugutan atau gangguan oleh pemberi pinjaman wang (Along) yang bertindak menyimbah cat ke premis peminjam selain ugutan mahu membakar rumah mangsa.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, jumlah kes itu terus meningkat berbanding 58 kertas siasatan kes sama dibuka sepanjang tahun 2022.

"Pada 24 April lalu, satu laporan polis dibuat oleh pemilik sebuah rumah di Taman Paroi Jaya, di sini, apabila kediamannya disimbah cat oleh Along selain menerima nota ugutan.

"Bertindak atas maklumat, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah (BSJKD) Seremban menangkap tiga lelaki di sekitar Seremban dan merampas sebuah kereta digunakan ketika kejadian serta dua telefon bimbit," katanya tadi.

Beliau berkata, ketiga-tiga mereka mengaku membaling cat di lima rumah di sekitar Seremban dan Nilai dengan mendapat upah antara RM100 hingga RM300.

"Ketiga-tiga mereka dituduh bagi dua kes mengikut Seksyen 29B (1) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 di Mahkamah Sesyen Seremban di sini, kelmarin, yang dibaca Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

"Tertuduh mengaku bersalah dan dijatuhi hukuman penjara 26 hari dari tarikh tangkap," katanya.

Justeru beliau berkata, polis tidak akan berkompromi dengan kegiatan pemberi pinjaman wang sama ada berlesen atau tidak yang bertindak melakukam gangguan, ugutan atau khianat terhadap peminjam.

"Kami juga ingin menasihatkan orang ramai supaya mengelak berurusan secara atas talian dan diminta berurusan di pejabat syarikat pemberi pinjam wang yang berlesen sahaja.

"Ini bagi memudahkan pihak polis atau agensi berkaitan mengenalpasti dan mengambil tindakan dengan lebih cepat sekiranya berlaku unsur gangguan atau ugutan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mei 2023 @ 6:06 PM