GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Omar Ahmad


Kota Tinggi: Seorang lelaki yang baru dua minggu bertugas sebagai penyimbah cat untuk sindiket along ditahan di Bandar Desa Cemerlang di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Hussin Zamora berkata, terdahulu, pihaknya menerima laporan dibuat pengadu berkaitan kejadian simbah cat di rumahnya di Taman Kota Jaya.

"Pengadu yang juga lelaki berusia 31 tahun membuat laporan yang rumah serta kenderaannya disimbah cat oleh sindiket along kira-kira jam 1 pagi.

"Hasil siasatan, kami menahan suspek yang berusia 31 tahun jam 12.30 tengah hari, hari yang sama laporan polis dibuat," katanya pada kenyataan hari ini.

Menurut beliau, tindakan simbah cat itu dikatakan sebagai amaran kerana pengadu tidak membayar pinjaman wang yang dibuatnya melalui Facebook pada awal 2019.

Hussin berkata, hasil siasatan, suspek menjalankan kegiatan menyimbah cat di rumah mangsa yang gagal menjelaskan wang pinjaman di sekitar negeri ini sejak akhir November lalu.

"Kami turut merampas dua kereta, tiga kad pengeluaran wang automatik (ATM), satu tin cat serta peralatan menyimbah cat.

"Kami masih mengesan anggota lain dalam sindiket ini bagi membantu siasatan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Disember 2021 @ 1:28 PM