LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Polis giat mengesan suspek yang menyimbah cat merah pada rumah dan kereta seorang penduduk di Batu 7, Tanjung Kling, semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, polis percaya kejadian itu mempunyai kaitan dengan peminjam wang tidak berlesen atau along dan dilakukan orang suruhan mereka.

"Bahagian Siasatan Jenayah sedang giat mengesan pelaku dan polis yakin dapat menahan suspek dalam masa terdekat.

"Setakat ini polis belum mengklasifikasikan kes ini dan siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.

Dalam pada itu, Sidang Kampung Tanjung Kling, Aziz Japar mengingatkan penduduk supaya tidak meminjam dengan along bagi mengelak sebarang masalah.

"Meminjam dengan along ini bukan saja membahayakan diri sendiri malah ahli keluarga kita.

"Banyak cerita kita dengar misalnya peminjam diugut bunuh dan sebagainya kerana tidak dapat bayar pinjaman," katanya.

Harian Metro semalam melaporkan pesara tentera, Md Deris Salleh, 69, terkejut mendapati rumah dan kereta menantunya disimbah cat merah awal pagi semalam.

Kejadian dipercayai angkara along tersalah alamat kerana dia sekeluarga tidak pernah meminjam atau berhutang dengan mana-mana ceti haram sebelum ini.

Berita berkaitan

Along salah alamat [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 April 2022 @ 10:53 AM