GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: 'Simptom kebal' menyebabkan ada dalam kalangan masyarakat mula memandang mudah pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sebaik lengkap vaksinasi.

Kegagalan mematuhi SOP ditetapkan kerajaan khususnya di lokasi awam mengundang risiko penularan Covid-19.

Pakar Psikologi dan Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Dr Fauziah Mohd Saad berkata, pemikiran sedemikian sepatutnya tidak berlaku dalam kalangan masyarakat kerana norma baharu ini sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan kini.

Menurutnya, berasa yakin pada sesuatu yang salah khususnya ketika negara masih bergelut dengan pandemik boleh memberi impak kepada kesihatan individu dan anggota masyarakat.

"Mereka yang culas ini dianggap ada simptom itu kerana yakin tidak dijangkiti Covid-19 kerana sudah lengkap dua dos vaksin.

"Keadaan sedemikian tidak harus berlaku kerana pematuhan SOP bukan sesuatu yang baru malah kita sudah mengamalkannya sejak lebih setahun lalu," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, menjadi lumrah manusia yang hanya akan sedar apabila perkara yang tidak diingini berlaku pada diri sendiri atau ahli keluarga dan rakan terdekat.

Katanya, ada kes pesakit positif Covid-19 mengalami tekanan emosi yang teruk tambahan pula jika ia membabitkan kematian orang yang tersayang.

"Masyarakat jangan selesa walaupun lengkap divaksin selain perlu realistik bahawa kini hidup sudah berubah kerana pematuhan SOP sudah menjadi sebahagian tuntutan dalam kehidupan seharian.

"Jangan pandang remeh kerana implikasi teruk boleh berlaku kepada psikologi jika Covid-19 ini menjangkiti diri sendiri dan mereka yang kita kenali," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 September 2021 @ 5:32 PM