GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Rakyat perlu sedar pematuhan prosedur operasi standard (SOP) adalah jalan terbaik untuk mengekang penularan Covid-19.

Pakar kesihatan awam, Dr Hanafiah Bashirun berkata, rakyat harus memahami fasa endemik bukan bererti penularan Covid-19 sudah berakhir.

Menurutnya, rakyat juga perlu bertanggungjawab memastikan tahap kesihatan sendiri berada pada tahap terbaik.

"Jika pergi ke lokasi berisiko adalah lebih baik menjalankan ujian kendiri atau kuarantin kendiri di rumah.

"Ujian saliva juga membantu masyarakat mengenal pasti tahap kesihatan sendiri dan ia membantu memantau keadaan kesihatan sebenar," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, rakyat kini dilihat semakin memahami keperluan menjaga SOP kerana ia 'ubat' terbaik mencegah Covid-19.

Katanya, jangan ada sikap sambil lewa dalam pematuhan SOP walaupun negara sudah mencapai 90 peratus vaksinasi lengkap bagi populasi dewasa.

"Kepatuhan tinggi perlu diteruskan dan jumlah kes yang semakin menurun menunjukkan perkembangan yang baik.

"Ini juga indikator rakyat sudah bersedia menuju fasa endemik," katanya.

Malaysia dijangka mencapai 90 peratus kadar vaksinasi lengkap dewasa beberapa hari lagi menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Dengan pencapaian ini beberapa kelonggaran akan diberikan terutamanya membabitkan kebenaran rentas negeri yang begitu dinanti rakyat Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Oktober 2021 @ 5:24 PM