Baharom Bakar

Kuala Terengganu: Orang ramai menyambut baik kebenaran merentas negeri, namun masih dibelenggu dengan kebimbangan jika berlaku penularan pandemik Covid-19.

Penjawat awam, Noorina Yusof, 42, berkata mereka yang bercadang menziarahi ahli keluarga selepas 'terpisah' sekian lama diminta terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

Katanya, kerajaan sudah memenuhi harapan rakyat terutama selepas tidak dapat bertemu secara bersemuka dengan ahli keluarga, tetapi pematuhan SOP perlu diberi keutamaan.

"Masyarakat yang bercadang untuk pulang ke kampung perlu bertanggungjawab memastikan keselamatan ahli keluarga," katanya.

NOORINA. FOTO Baharom Bakar
NOORINA. FOTO Baharom Bakar

Usahawan Aidi Ismail, 45, dari Batu Rakit, di sini, berkata masyarakat yang bercadang untuk merentas negeri diminta tidak mengambil mudah dan terlalu bebas sehingga mengabaikan SOP.

"Jika betul pun sudah lengkap dua dos vaksin, tetapi kesihatan ahli keluarga yang bakal dikunjungi jangan diabaikan.

"Saya menyambut baik kebenaran kerajaan membolehkan rentas negeri, tetapi saya bimbang masyarakat gagal untuk mendisiplinkan diri dengan melakukan kunjungan tanpa pematuhan SOP," katanya yang mengakui terpisah dengan adiknya yang kini bertugas di Kuala Lumpur, lebih satu tahun lalu.

Syakib Arsalan, 32, dari Kampung Gelogor Kedai, di sini, berkata orang ramai digesa tidak leka dan sentiasa berwaspada apabila pulang ke kampung halaman berjumpa saudara-mara.

Katanya, kerajaan sudah memenuhi harapan seluruh rakyat apabila memberi kelonggaran rentas negeri, tetapi dalam masa yang sama pematuhan SOP perlu diutamakan.

"Seluruh masyarakat diminta tidak menyalahgunakan kelonggaran diberikan. Kita bimbang penularan pandemik Covid-19 akan kembali meningkat sehingga kerajaan terpaksa menarik balik kelonggaran yang diberikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Oktober 2021 @ 5:37 PM