Orang ramai meluangkan hari akhir cuti panjang sempena Tahun Baharu Cina di Bandar Hilir, Melaka. Foto Syafeeq Ahmad
Orang ramai meluangkan hari akhir cuti panjang sempena Tahun Baharu Cina di Bandar Hilir, Melaka. Foto Syafeeq Ahmad
Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Peningkatan pergerakan sempena cuti umum selain kesan varian Omicron menjadi antara punca peningkatan kes positif Covid-19 sejak kebelakangan ini.

Pakar Kesihatan Awam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, pergerakan yang tinggi dalam kalangan komuniti termasuk berada di tempat berkapasiti tinggi dilihat faktor angka kes positif Covid-19 semakin bertambah.

Menurutnya, jangkaan berlaku peningkatan kes disebabkan varian Omicron juga sudah dijangka Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Katanya, keadaan itu perlu dipandang serius masyarakat dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) juga perlu terus ditingkatkan.

"Cuti umum menyebabkan peningkatan pergerakan dalam kalangan masyarakat dan ia boleh menjadi punca jangkitan.

"KKM juga sudah jangka peningkatan kes untuk beberapa minggu ini disebabkan varian Omicron," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurutnya, masyarakat perlu terus kekal waspada walaupun jumlah rakyat yang lengkap divaksin tinggi.

Katanya, vaksin tidak menjamin seseorang itu tidak dijangkiti tetapi ia mengurangkan risiko kematian dan kemasukan ke hospital.

"Jangan leka dan lalai kerana walaupun kesan Omicron tidak seteruk Delta, namun ia masih boleh menyebabkan seseorang itu berisiko tinggi untuk dijangkiti selain berpotensi menyebabkan kematian," katanya.

Angka positif Covid-19 di Malaysia mencatatkan kepada 9,117 kes pada semalam, ia dilaporkan meningkat sejak beberapa hari lalu berbanding Disember hingga Januari.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Februari 2022 @ 2:01 PM