DATUK Ahmad Marzuk Shaary. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
DATUK Ahmad Marzuk Shaary. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri minggu hadapan, bagi menyelesaikan isu maahad tahfiz swasta yang terpaksa menutup operasi kerana terkesan dengan pandemik Covid-19.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, beliau bersama Menterinya, Senator Idris Ahmad akan membincangkan isu itu dengan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya maahad tahfiz yang terkesan ini akan terus beroperasi.

Katanya, menjadi keutamaan kementeriannya untuk menyelesaikan isu berkenaan.

"Minggu lalu, banyak perbincangan dan pertemuan untuk mengatasi masalah maahad tahfiz dan sekolah agama swasta kerana kita tahu mereka ini bergantung kepada yuran pelajar.

"Bila tidak sekolah dan tidak buka (operasi) sudah pasti (pendapatan) mereka terjejas. Insya-Allah dalam masa terdekat ini, kita akan beri bantuan.

"Sepanjang tahun ini juga, kita membelanjakan sebanyak RM60 juta kepada maahad tahfiz dan sekolah pondok khususnya, namun angka itu belum mencukupi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Program Outreach Vaksinasi Covid-19 di Masjid As-Salam, Pengkalan Chepa di sini, hari ini.

Pada program selama lima hari yang bermula hari ini, seramai 6,000 individu akan divaksinasi.

Mengulas lanjut Ahmad Marzuk berkata, untuk mendapatkan bantuan itu, pihaknya menyeru supaya semua maahad tahfiz, sekolah pondok dan sekolah agama swasta berdaftar dengan majlis agama negeri masing-masing.

"Mereka perlu pastikan pendaftaran dibuat dan kriteria juga perlu mencukupi untuk melayakkan mereka mendapat bantuan.

"Mereka yang tidak berdaftar ini akan menyulitkan untuk menerima bantuan," katanya.

Ahmad Marzuk berkata, ada maahad tahfiz dan sekolah agama yang menjalani pembelajaran secara dalam talian, namun bayaran yurannya minimum dan tidak dapat menampung kos operasi.

Menurutnya, dijangka selepas 3 Oktober ini, mereka akan dibenarkan beroperasi dan memberi sedikit kelegaan buat mereka.

"Bukan sahaja maahad tahfiz, malah sekolah agama rakyat dan sektor ekonomi swasta serta sosial yang lain turut terjejas pada masa ini," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Persatuan Madrasah Tahfiz al-Quran Malaysia (Permata Al-Quran) mendapati sebanyak 64.7 peratus maahad tahfiz di negara ini perlu menutup operasi atas arahan kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 September 2021 @ 3:46 PM