DATUK Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri. FOTO Faiz Anuar
DATUK Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri. FOTO Faiz Anuar
Maiamalina Mohamed Amin


Bantuan berjumlah RM18.4 juta sudah diagihkan kepada sekolah agama rakyat (SAR) serta sekolah agama swasta (SAS), sekolah pondok dan tahfiz yang terkesan pandemik Covid-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, ia membabitkan 1,830 penerima setakat 30 Jun lalu.

"Kerajaan prihatin terhadap perkembangan institusi pendidikan Islam yang terkesan susulan Covid-19, oleh itu bersetuju memperuntukkan RM21 juta daripada peruntukan 'one-off' RM100 juta pada pembentangan Bajet 2020 untuk meringankan beban guru dan institusi.

"Bantuan khas ini diagihkan kepada 979 tahfiz, 204 pondok dan 647 SAR dan SAS," katanya pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Fuziah Salleh (PH-Kuantan) mengenai jenis bantuan kerajaan kepada institusi pendidikan Islam yang terkesan akibat penutupan susulan penularan Covid-19.

Dalam pada itu, menjawab soal Tabung Musaadah Covid-19 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Dr Zulkifli berkata, sumbangan daripada tabung itu disalurkan kepada semua golongan memerlukan termasuk taska swasta, sekiranya menepati syarat ditetapkan.

"Yang dikumpul daripada Jakim tidak sampai RM6 juta. Kita bagi mengikut permohonan dan bersifat terbuka. Apapun permohonan yang memenuhi kriteria, kita akan beri. Bukanlah untuk satu pihak saja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Julai 2020 @ 2:24 PM