GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Hidayatidayu Razali
am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Sebanyak 55.54 peratus populasi dewasa di negeri ini sudah melengkapkan dua dos vaksinasi sehingga semalam.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Hussin berkata, ia membabitkan 686,640 individu dengan penerima dos pertama merekodkan seramai 937,078 individu atau 75.8 peratus.

"Melihat kepada jumlah penerima dos pertama semakin meningkat, Kelantan akan mencapai sasaran 80 peratus suntikan populasi dewasa pada hujung bulan ini.

"Mereka yang mendapatkan vaksin secara 'walk-in' sehingga Khamis lalu adalah seramai 26,096 orang.

"Walaupun tidak mencapai sasaran ditetapkan oleh JKNK yang menyediakan 12,000 dos vaksin sehari," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Dr Zaini berkata, mereka yang belum mendapatkan vaksin diminta hadir secara janji temu di pusat pemberian vaksin (PPV) terdekat bagi menerima suntikan.

Menurutnya, ini bagi membantu kerajaan untuk mencapai imuniti kelompok seterusnya mengurangkan kadar jangkitan Covid-19 di negeri ini.

"Pihak kita berharap masyarakat di negeri ini supaya terus patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) untuk membendung penularan wabak Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 September 2021 @ 4:19 PM