GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Johor memperluaskan inisiatif vaksinasi 'walk-in' ke hampir seluruh daerah negeri ini bagi mempercepatkan pencapaian imuniti kelompok.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan, berkata, usaha itu sebagai langkah vaksinasi untuk rakyat tempatan di negeri ini sebelum Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) diperluas kepada warga asing yang juga pekerja industri di Johor.

Katanya, ia juga bagi mencapai sasaran supaya 100 peratus rakyat Johor sekurang-kurangnya lengkap dos pertama, pertengahan bulan ini.

"Inisiatif vaksinasi 'walk-in' di Johor telah dimulakan pada pertengahan bulan lalu melalui program di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mobile, bagi memberi ruang kepada warga tempatan yang masih belum mendaftar melalui MySejahtera, khususnya di lokasi pedalaman.

"Ia juga dibuka kepada sesiapa yang telah tercicir mendapatkan dos kedua, atas sebab- sebab tertentu. Bagi mereka ini, sekiranya jenis vaksin tidak sama dengan dos pertama, mereka akan diberi temujanji baharu.

"Pemberian vaksin secara 'walk-in' ini dijalankan bermula 8.30 pagi hingga 4.30 petang, mengikut lokasi dan tarikh ditetapkan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Vidyananthan berkata, lapan daerah disenaraikan untuk vaksinasi 'walk-in' ini adalah Kulai, Segamat, Tangkak, Muar, Batu Pahat, Pontian, Mersing dan Kluang.

Katanya, bagi Kulai, vaksinasi 'walk-in' diadakan di PPV Dewan Raya Bandar Putra semalam, PPV Mobile FELDA Bukit Batu pula Jumaat lalu manakala PPV Mobile Kampung Melayu, hari ini.

"Bagi Segamat, vaksinasi secara 'walk in' berlansung hari ini di PPV Dewan Serbaguna Jalan Genuang, PPV Dewan Serbaguna Taman Yayasan dan PPV Dewan Serbaguna Labis.

"Bagi Tangkak pula, inisiatif ini akan diadakan di PPV Dewan Kolej Kemahiran Tinggi MARA, Ledang pada 5 September.

"Di Muar pula ia diadakan di PPV Dewan Jubli Intan Muar pada 9 hingga 12 September depan manakala di Batu Pahat akan diadakan di PPV Dewan Jubli Intan, Batu Pahat (6 September), PPV Dewan Terbuka Taman Hajjat, Parit Bilal Tongkang Pechah (5 September),PPV Dewan Makmur, Rengit (6 September) dan PPV Dewan Serbaguna Sri Sulong (7 September), PPV Dewan Orang Ramai Parit Raja

(8 September)," katanya.

Beliau berkata, bagi Pontian pula ia diadakan di PPV Dewan Jubli Intan Pontian, PPV Dewan Serbaguna Benut dan PPV Dewan Tunku Ibrahim Ismail, Pekan Nanas (2 hingga 10 September), manakala PPV Dewan Perpat Timbul, Serkat dan PPV KK Kayu Ara Pasong (4 September).

"Bagi Mersing inisiatif vaksinasi 'walk in' akan diadakan di PPV Dewan Jubli Intan Mersing (13 September) manakala PPV Politeknik Mersing (7 September).

"Kluang pula, inisiatif ini akan diadakan di PPV Dewan Muafakat Simpang Renggam (5 September)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 September 2021 @ 11:53 AM