Gambar hiasan. FOTO Eizairi Shamsudin
Gambar hiasan. FOTO Eizairi Shamsudin
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Hanya 53,000 kadar vaksinasi di Johor dapat dipenuhi berbanding 70,000 kapasiti keseluruhan vaksinasi harian.

Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, perkara berkenaan berpunca daripada segelintir golongan yang gagal memenuhi janji temu vaksin namun tiada kaitan dengan isu anti vaksin.

Beliau berkata, ia sebaliknya berpunca apabila segelintir sesetengah penduduk yang sudah mendaftar bagi vaksinasi di aplikasi MySejahtera namun berada di Singapura.

Menurutnya, dianggarkan 150,000 penduduk Johor masih di negara berkenaan dan majoritinya sudah divaksin di situ dan begitu juga pemandu lori yang berulang-alik ke Singapura.

Katanya, bagaimanapun mereka berdepan kekangan untuk mengemaskini status masing-masing kerana tinggal di sana lebih setahun atau dua tahun.

"Ia memberi gambaran bahawa sebenarnya bilangan penduduk Johor yang sudah menerima vaksin sebenarnya lebih tinggi berbanding data dilaporkan.

"Begitu juga dengan pusat perubatan swasta yang tidak dapat mengemaskini berkaitan pemberian vaksin kerana butiran tidak lengkap dan kedua-dua perkara berkenaan perlu diselaraskan," katanya.

Hasni berkata, Johor turut memperluaskan inisiatif vaksinasi 'walk-in' ke hampir seluruh daerah di negeri ini bagi mempercepatkan pencapaian imuniti kelompok.

Beliau berkata, vaksinasi 'walk-in' di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada (Persada) Johor bermula hari ini.

"Malah kerajaan negeri juga dalam usaha meningkatkan kemudahan perubatan lengkap terutama bagi kategori tiga, empat dan lima.

"Didapati kes di Johor meningkat dan kluster industri adalah penyumbang utama.

"Industri menjalankan ujian dua minggu sekali dan Jabatan Kesihatan Negeri juga mempertingkatkan urusan menjalankan ujian di lapangan," katanya ketika menyerahkan pelbagai peralatan dan kemudahan perubatan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Johor di Hospital Permai Johor Bahru di sini, hari ini.

Terdapat 96 peralatan perubatan bernilai keseluruhan RM300,000 diserahkan untuk diagihkan kepada hospital di Kota Tinggi, Kulai, Pontian, Mersing dan Tangkak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 September 2021 @ 2:07 PM