GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Vaksinasi Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Malaysia Sabah (UMS) ditingkatkan kepada 3,000 dos sehari mulai minggu depan.

Pengerusi Lembaga Pengarah UMS Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan ketika memaklumkan perkara itu hari ini berkata, ia sejajar dengan komitmen UMS untuk membantu mempercepat proses vaksinasi rakyat di Sabah.

"Kita berhasrat untuk meningkatkan lagi pemberian vaksin kepada 3,000 dos sehari bagi membantu usaha Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mencapai imuniti berkelompok secepat mungkin.

"Selain itu, dalam usaha menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di negeri ini, UMS juga menghantar pasukan ke kawasan kampung melalui Program Outreach Imunisasi Covid-19 Daerah Kota Kinabalu bagi memudahkan penduduk kampung mendapat vaksinasi," katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Abdul Rahman berkata, dengan kekuatan 34 petugas klinikal dan 128 petugas sukarelawan kakitangan dan pelajar UMS, PPV UMS setakat ini berjaya melaksanakan pemberian 13,729 dos vaksin sejak pembukaannya pada 14 Jun lalu.

"Bermula dengan 200 dos sehari, PPV UMS meningkatkan kapasiti sehingga melebihi 1,600 dos sehari walaupun pada mulanya sasaran adalah sekitar 1,000 sehari.

"Justeru itu, UMS akan terus mengadakan kerjasama rapat dengan JKNS bagi memastikan proses pemberian vaksin kepada orang awam di PPV UMS lebih efisien dan dapat dipercepatkan," katanya.

Beliau turut yakin PPV UMS mampu menyumbang kepada usaha kerajaan negeri yang menyasarkan untuk mencapai sekurang-kurangnya 50 hingga 60 peratus penduduk Sabah menerima vaksin sehingga Oktober depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Julai 2021 @ 5:08 PM