DATUK Hajiji Noor (tengah), Datuk Masidi Manjun (kiri) dan Ir Shahelmey Yahya (kanan) ketika pertemuan secara maya bersama Khairy Jamaluddin. FOTO ihsan Jabatan Ketua Menteri Sabah
DATUK Hajiji Noor (tengah), Datuk Masidi Manjun (kiri) dan Ir Shahelmey Yahya (kanan) ketika pertemuan secara maya bersama Khairy Jamaluddin. FOTO ihsan Jabatan Ketua Menteri Sabah
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Sabah akan diberi keutamaan untuk menerima vaksin covid-19 dos tunggal CanSino apabila Malaysia menerima tiga juta bekalan vaksin itu bulan depan.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dalam pertemuan secara maya bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor, di sini, tadi.

Khairy berkata, penghantaran pertama vaksin berkenaan akan diberikan kepada Sabah bagi memastikan negeri ini mampu mencapai sasaran 60 peratus populasinya divaksin menjelang Oktober depan.

"Pada masa sama, kami juga akan memaklumkan dan memberi pilihan kepada Sabah berhubung vaksin Johnson & Johnson," katanya sebagai maklum balas terhadap permintaan Hajiji supaya lebih banyak bekalan vaksin dihantar ke Sabah untuk mencapai sasaran vaksinasi sebanyak 60 peratus menjelang Oktober hadapan.

Pertemuan secara maya itu turut disertai Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri yang juga jurucakap covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun; Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Ir Shahelmey Yahya dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong.

Bersama Khairy dalam pertemuan itu pula ialah Penasihat Khas kepada Perdana Menteri mengenai Kesihatan Awam, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood dan Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohammad Ab Rahman.

Sementara itu Hajiji berkata, bekalan vaksin yang mencukupi penting bagi Sabah untuk membantu masyarakat di kawasan pedalaman dan pulau terpencil yang berdepan masalah perhubungan disebabkan keadaan muka bumi yang sukar dan jauh.

"Sehingga kini, kita sudah membuka sebanyak 177 pusat pemberian vaksin (PPV) di seluruh negeri. Melalui kemudahan jangkauan luar (mobile outreach) serta Program Vaksinasi Medic Tentera Darat, kita berada di landasan yang tepat untuk memastikan lebih ramai orang menerima vaksin covid-19," katanya.

Hajiji turut menyatakan penghargaan kerajaan negeri terhadap maklum balas kerajaan Pusat berhubung permintaan Sabah dan tindakan segera yang diambil Khairy ke atas isu kekangan bekalan vaksin di negeri ini.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Dr Rose Nani Mudin, menjelaskan PPV Integrasi pertama Sabah akan bermula minggu depan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).

PPV Integrasi itu, katanya akan memberi vaksin dengan kerjasama hospital swasta untuk mempercepatkan proses vaksinasi sekali gus mengurangkan beban yang dihadapi hospital awam ketika ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Julai 2021 @ 4:42 PM