ADAM Adli (kanan) ketika tiba di IPD Dang Wangi, hari ini. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
ADAM Adli (kanan) ketika tiba di IPD Dang Wangi, hari ini. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Polis memanggil aktivis, Adam Adli Abdul Halim, hari ini untuk diambil keterangan berhubung perhimpunan #TangkapAzamBaki yang dijadualkan berlangsung di ibu negara, Sabtu ini.

Adam Adli hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, bersama peguamnya, jam 2.40 petang untuk memberi keterangan.

Katanya, beliau dipanggil untuk diambil keterangan berhubung perhimpunan itu serta beberapa sebaran maklumat dalam talian berkaitan perkara itu.

"Saya memberi kerjasama kepada pihak polis. Perkara begini selalu nampak dalam apa jua demonstrasi dan saya tidak menolak kemungkinan akan dipanggil semula nanti.

"Kita serah perkara ini kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan kerana ia adalah prosedur biasa dan saya percaya perhimpunan akan berjalan secara aman nanti," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di hadapan IPD Dang Wangi selepas selesai memberi keterangan jam 3.10 petang.

Adam Adli berkata, perhimpunan itu diadakan bagi mendesak Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki supaya meletak jawatan susulan pelbagai isu negatif yang dikaitkan terhadap dirinya.

"Sebagai sebuah institusi yang mencegah dan membanteras rasuah di negara ini, ketuanya perlu ada integriti serta tidak boleh terpalit mana-mana isu.

"Ketua agensi ini perlu ada sokongan masyarakat. Dalam situasi dihadapi Azam Baki ini, kita boleh nilai bahawa beliau sudah tidak mendapat keyakinan masyarakat," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya ketika dihubungi, di sini, hari ini, mengesahkan pihaknya memanggil Adam Adli untuk memberi keterangan berhubung perkara terbabit, hari ini.

"Adam Adli dipanggil bagi membantu siasatan berhubung artikel yang disiarkan oleh sebuah portal dalam pada 14 Januari lalu berkaitan panggilan perhimpunan di Dataran Merdeka, Sabtu ini," katanya.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana memberi komunikasi menyebabkan mudarat awam dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 January 2022 @ 4:58 PM