Yusuf Azmi.
Yusuf Azmi.
Skuad Khas Harian Metro


Kuala Lumpur: Satu jawatankuasa khas terdiri daripada penguatkuasa agama, cendekiawan serta pakar dalam soal doktrin palsu perlu ditubuhkan bagi membanteras kewujudan pelbagai jenis ajaran sesat.

Pengerusi Persatuan Pengguna Semboyan Malaysia (PPSM) Yusuf Azmi berkata, dengan kerjasama itu, ia akan menjadikan usaha pengawalan akidah diperhebatkan pada setiap masa dan mampu mengekang sebarang ajaran palsu yang menyeleweng.

Katanya, isu ajaran sesat atau dakyah songsang bukan perkara baharu di negara ini malah ia dijadikan agenda peribadi oleh pihak tertentu yang mengambil jalan mudah untuk menarik ramai pengikut.

"Sama juga dengan isu yang dilaporkan Harian Metro ini. Mengajak orang lain berperang atau jihad hanya kerana mendapat mimpi itu menimbulkan banyak persoalan. Bukan sahaja meragukan, tetapi bagaimana pula dengan mimpi orang lain.

"Sebab itu perlu jawatankuasa rentas negeri yang terdiri daripada jabatan kerajaan dan lain-lain pihak berwajib untuk sama-sama membanteras apa juga gerakan yang membawa fitnah kepada agama," katanya.

Beliau berkata, PPSM juga khuatir jika isu seperti kewujudan PMYT ini dipandang ringan oleh ibu bapa kerana ia akan mempengaruhi kanak-kanak.

Menurutnya, aspek pengawalan diri dan penjagaan akidah perlu dijalankan dari rumah dan ditambah baik dengan rujukan kepada ulama yang muktabar sekiranya tidak faham sesuatu isu.

"Ramai yang terpedaya dengan PMYT ini. Soalnya kenapa jadi begitu. Ia berbalik kepada isu pokok, iaitu didikan di rumah dan pengetahuan asas mengenai Islam.

"Jika itu selesai, maka kita akan terselamat daripada fitnah sebegini sehinggakan ada yang begitu mudah percaya bahawa sudah sampai masanya kita perlu berperang, kena tanya balik, apakah ini yang disuruh agama," katanya.

Yusuf berkata, beliau akan berbincang dengan peguam PPSM untuk membawa isu itu ke tengah bagi memastikan ia tidak lagi berlanjutan dan tindakan tegas dapat diambil sewajarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 September 2021 @ 2:09 PM