Menara sementara yang dibina oleh syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi Digi telah siap sepenuhnya dan kini  memberi kemudahan  kepada penduduk Kampung Relai menikmati talian internet jalur lebar berkelajuan 4G sejak minggu ini. FOTO ROSELAN AB MALEK
Menara sementara yang dibina oleh syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi Digi telah siap sepenuhnya dan kini memberi kemudahan kepada penduduk Kampung Relai menikmati talian internet jalur lebar berkelajuan 4G sejak minggu ini. FOTO ROSELAN AB MALEK
Roselan Ab Malek


Lipis: Kemudahan rangkaian jalur lebar berkelajuan tinggi generasi keempat (4G) yang sudah boleh digunakan penduduk Kampung Relai dekat sini, sejak minggu ini, diumpamakan seperti hadiah paling bermakna sempena sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-64.

Untuk rekod, Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM) Pahang memastikan pembinaan stesen pemancar sementara di Kampung Relai, yang dibina oleh sebuah syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi siap sepenuhnya dan mula beroperasi minggu ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) Kampung Relai Mohamad Mad Jali berkata, sebelum ini, penduduk tidak dapat menggunakan kemudahan itu kerana pemancar sedia ada membabitkan stesen asas 2G.

"Kerajaan negeri terus membantu apabila penduduk merungut kerana tiada talian Internet berbanding kampung berhampiran.

"Dengan adanya kemudahan ini, ia memudahkan anak untuk mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR)," katanya.

Penduduk, Mohamad Ariffudin Mohamad Shari, 25, berkata, sebelum ini, ada pelajar terpaksa belajar di atas bukit di tepi lombong tinggal yang terletak kira-kira tiga kilometer dari kampung untuk mengikuti sesi PdPR.

"Pelajar perempuan pula ada yang terpaksa menumpang di rumah saudara di kampung lain untuk tujuan sama," katanya.

Menurut Mohamad Ariffudin, kemudahan yang baru siap itu membantu menyelesaikan masalah dihadapi penduduk, pelajar serta guru di kampung berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi, dan Multimedia negeri Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, pembinaan pencawang sementara itu adalah untuk mengatasi masalah dihadapi penduduk kampung berkenaan yang tiada liputan Internet.

"SKMM akan membina menara baru dengan menggunakan teknologi gentian optik.

"Pencawang sementara ini akan digunakan sehingga pencawang baharu yang sedang dirancang di kampung berkenaan siap dibina pada Mac tahun hadapan," katanya.

Mohammad Fakhruddin berkata, selain di Kampung Relai, tujuh pencawang baharu sudah siap atau dalam rancangan untuk dibina di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Cheka di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela).

"Dua pencawang iaitu di Kampung Sungai Lik dan Kampung Ridan sudah siap dibina dan mula beroperasi pada awal Jun lalu manakala lima pencawang lagi akan di bina September ini.

"Pada masa sama, turut dilaksanakan ialah kerja menaik taraf 30 stesen pemancar sedia ada di Dun Cheka kepada stesen 4G, termasuk di Kampung Relai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 September 2021 @ 1:23 PM