GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Ahmad Hasbi

Seremban: Seorang pemuda rugi lebih RM100,000 selepas terpedaya dengan tawaran menjadi pembantu pemasaran di sebuah syarikat jualan produk dalam talian.

Dia berusia 27 tahun dan berasal dari Senawang, terjebak sindiket itu selepas melihat iklan di media sosial pada 29 Ogos lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Abd Ghani berkata, mangsa kemudian menghubungi nombor telefon tertera dan berurusan untuk pekerjaan berkenaan dengan seorang wanita dikenali Ainnie.

Katanya, suspek meminta mangsa membayar wang pendahuluan bagi produk yang akan dijual serta dijanjikan keuntungan 10 peratus daripada hasil jualan tersebut.

"Dia berminat dan membuat pindahan wang berjumlah RM111,906 menerusi 25 transaksi kepada syarikat terbabit, dengan wang daripada akaun bank miliknya dan bapa.

"Bagaimanapun, selepas pembayaran dibuat, mangsa tidak mendapat apa-apa pulangan dan merasakan sudah ditipu, sebelum membuat laporan polis semalam," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Aibee memberitahu pihaknya sedang melakukan siasatan lanjut kes itu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 September 2021 @ 11:10 AM