GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ahmad Hasbi


Seremban: Pasangan suami isteri warga emas yang 'gelap mata' dengan tawaran tiket nombor ekor kononnya memenangi wang berjumlah RM500,000 akhirnya 'gigit jari' selepas mengalami kerugian RM30,000, Khamis lalu.

Mangsa didatangi seorang wanita tidak dikenali yang menawarkan tiket nombor ekor namun perlu menyerahkan sejumlah wang menyebabkan pasangan warga emas itu mengeluarkan wang simpanan di bank di Kuala Pilah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Ab Ghani berkata, ketika kejadian mangsa berada di tempat letak kereta dekat Bahau, Jempol sebelum didatangi wanita yang menggunakan dialek Indonesia.

"Lelaki berusia 69 tahun bersama isterinya yang berusia 64 tahun ditunjukkan resit nombor ekor. Suspek mendakwa dia memenangi wang berjumlah RM500,000 sebelum pasangan itu mempercayainya.

"Mangsa diperdaya supaya ke sebuah bank di Kuala Pilah bagi mengeluarkan wang kononnya untuk bayaran proses mendapatkan wang yang dimenangi menerusi tiket nombor ekor berkenaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Aibee berkata, mangsa dibawa menaiki kereta suspek ke sebuah bank sebelum warga emas itu mengeluarkan wang berjumlah RM25,000 di kaunter bank itu lalu menyerahkan kepada suspek yang menunggu dalam kenderaan.

"Mangsa dibawa pula ke mesin ATM sebelum mengeluarkan lagi wang berjumlah RM5,000 dan menyerahkannya kepada suspek.

"Warga emas berkenaan dibawa pulang ke Bahau dan pergi ke sebuah bank. Mangsa dibiarkan di dalam bank sebelum suspek melarikan diri. Mangsa menyedari ditipu selepas keluar dari bank dan mendapati wanita berkenaan sudah menghilangkan diri," katanya.

Aibee berkata, mangsa membuat laporan di Balai Polis Bahau pada hari sama dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Saya menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan orang yang tidak dikenali yang menggunakan pelbagai helah untuk menipu. Jangan sesekali mudah percaya dan menyerahkan wang sewenang-wenangnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mei 2022 @ 12:05 PM