GAMBAR Hiasan
GAMBAR Hiasan
Ahmad Hasbi

Seremban: Pegawai bank juga tidak terlepas daripada menjadi mangsa sindiket Macau Scam apabila ditipu lebih RM100,000 selepas menyerahkan maklumat akaun banknya kepada pihak menyamar sebagai wakil 'Bank Negara'.

Mangsa wanita berusia 47 tahun dihubungi wanita yang mengaku sebagai pegawai sebuah bank dan memaklumkan kononnya terdapat transaksi daripada kad kredit untuk urusan mata wang elektronik, bitcoin tanpa kebenarannya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Abd Ghani berkata, mangsa mengalami kerugian RM104,000 selepas wang dikeluarkan daripada akaun tanpa pengetahuannya.

"Ketika mangsa berada di rumahnya di Jalan Rasah, di sini, semalam, dia dihubungi seorang wanita yang mengaku pegawai sebuah bank dan mendakwa terdapat transaksi daripada kad kredit berjumlah RM4,663 kepada Oversea Bitcoin.

"Kemudian 'pegawai' berkenaan menyambungkan mangsa kepada pegawai Bank Negara bernama Sarah dan wanita itu kononnya mengesahkan transaksi berkenaan selain turut menunjukkan laporannya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudiannya bercakap dengan seorang lelaki di talian 019-5619807 dan mangsa diminta mengemaskini pita magnetik pada kad banknya.

"Sindiket juga meminta mangsa menyenaraikan kad bank dimiliki dan menyuruhnya menukar nombor pin di mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

"Mangsa memberikan maklumat yang diminta tanpa menyedari ia adalah kegiatan jenayah Macau Scam," katanya.

Menurut Aibee, mangsa berasa tidak sedap hati sebelum membuat semakan akaunnya di sebuah bank dan mendapati terdapat dua pengeluaran wang daripada akaunnya sebanyak RM104,000.

"Mangsa tidak berpuas hati kerana ditipu sebelum membuat laporan polis semalam untuk siasatan lanjut," katanya.

Aibee berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Disember 2021 @ 10:43 AM