AIBEE AB GHANI
AIBEE AB GHANI
BERNAMA

Seremban: Kes jenayah membabitkan penipuan tawaran kerja di Negeri Sembilan merekodkan 78 kes dengan kerugian berjumlah RM1.2 juta yang dikesan dari awal tahun ini sehingga semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Ab Ghani berkata jumlah berkenaan meningkat daripada rekod yang dilaporkan sepanjang tahun lalu dengan satu kes membabitkan kerugian RM7,140.

Katanya, modus operandi digunakan suspek adalah dengan menawarkan iklan kerja dalam talian menerusi Facebook, WhatsApp, Instagram dan sebagainya.

"Mangsa kemudian akan berhubung melalui WhatsApp lalu diarahkan membuat bayaran ke dalam akaun individu terbabit.

"Pada peringkat awal mangsa dimaklumkan akan mendapat pulangan dan kemudiannya apabila sejumlah besar wang dimasukkan ke akaun berkenaan, suspek tersebut tidak dapat dihubungi lagi," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Aibee menasihati orang awam berhati-hati dengan tawaran pulangan yang mudah dan besar selain tidak melakukan sebarang pembayaran ke mana-mana akaun individu kerana ia adalah akaun keldai.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 November 2021 @ 2:26 PM