GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti 22 kluster baharu yang dilaporkan di Johor, Kelantan, Pahang, Selangor, Sabah, Terengganu dan Kedah, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 22 kluster yang dikenal pasti, 11 daripadanya adalah kluster dari tempat kerja dan lapan lagi kluster membabitkan komuniti.

"Terdapat dua kluster berkaitan kumpulan berisiko tinggi dan satu kluster membabitkan pusat tahanan.

"Daripada 22 kluster yang dilaporkan, enam daripadanya dari Kelantan, Johor (5), Selangor (4), Pahang (3), Sabah (2) dan masing-masing satu kluster di Terengganu dan Kedah.

"Sebanyak 4,731 kluster dilaporkan sehingga kini dengan 3,256 kluster dilaporkan tamat, manakala 1,475kluster lagi masih aktif, setakat hari ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, data terkini kadar kebolehjangkitan atau R-naught (Rt) penularan jangkitan Covid-19 di Malaysia, sehingga semalam, adalah sebanyak 1.02.

"Negeri yang mencatatkan nilai RT tertinggi adalah Perlis dengan 1.22 diikuti Sarawak (1.19) dan Sabah (1.12).

"Semua negeri mencatatkan nilai Rt melebihi daripada 1.0 kecuali iaitu Melaka, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Putrajaya dan Labuan," katanya.

Sementara itu, beliau turut menyampaikan ucapan Hari Kebangsaan Ke-64 yang diraikan hari ini daripada seluruh warga KKM kepada semua warga Malaysia.

"Sempena hari yang bersejarah ini, KKM ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pejuang barisan hadapan dan petugas balik tabir yang bertungkus lumus berjuang menentang musuh negara yang sedang mengancam dunia iaitu Covid-19.

"Tidak dilupakan penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia yang tetap patuh kepada prosedur operasi standard (SOP).

"Bersama-samalah kita sebagai satu pasukan dalam memelihara kesejahteraan ibu pertiwi ini dengan segera mendapatkan vaksin bagi yang layak dan mematuhi SOP. Semoga Malaysia 'merdeka' daripada ancaman virus ini dan dapat segera hidup seperti sedia kala," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Ogos 2021 @ 7:57 PM