MUHAMMAD Hasif Mohd Sanusi bermula daripada bawah sebelum dila tik menjadi pengurus.
MUHAMMAD Hasif Mohd Sanusi bermula daripada bawah sebelum dila tik menjadi pengurus.
Redzuan Muharam


Kota Bharu: Anak kedua daripada enam beradik, Muhammad Hasif Mohd Sanusi pernah menyimpan cita-cita untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi selepas tamat persekolahan.

Bagaimanapun, Muhammad Hasif, 22 terpaksa melupakan hasratnya itu kerana mendapat keputusan kurang memuaskan dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Meskipun sedih melihat rakan sebaya melangkah kaki ke menara gading, Muhammad Hasif yang menetap di Pengkalan Chepa, di sini tidak sia-siakan masanya malah mencari peluang kerja bagi menimba pengalaman.

Kesungguhannya berhasil apabila kini menyandang jawatan sebagai pengurus di premis burger dan kentang bersalut keju milik rakannya, Muhammad Aiman Syaqir, 22.

"Antara pekerjaan yang saya pernah lakukan selepas tamat persekolahan adalah mengambil upah memasang khemah tetapi secara sambilan saja.

"Saya lakukannya selama setahun sebelum menganggur kerana tiada majlis disebabkan pandemik Covid-19.

"Bagaimanapun, perkenalan dengan Aiman (nama gelaran Muhammad Aiman) ketika bermain bola sepak bersama mengubah nasib saya," katanya ketika dihubungi Harian Metro

Muhammad Hasif berkata, Muhammad Aiman bukan hanya membuka jalan untuknya mencari rezeki tetapi juga peluang mempelajari selok belok bidang perniagaan.

"Kebetulan, ketika itu saya menganggur dan dia menawarkan supaya bekerja dengannya selama dua tahun lalu, jadi peluang itu datang tepat pada masanya.

"Saya bermula dari bawah sebagai pembantu premis yang hanya ditugaskan menggoreng roti burger saja.

"Tahun lalu, saya dilantik sebagai pengurus dan bersyukur kerana diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab itu walaupun tidak mudah membantu menguruskan premis dan mengendalikan stok barangan," katanya.

Muhammad Hasif berkata, dia juga bersyukur kerana pendapatannya meningkat empat kali ganda iaitu daripada RM1,000 dan kini meraih RM4,000 sebulan.

Di samping mencari rezeki, Muhammad Hasif mahu jadikan kerjayanya kini sebagai platform untuk menimba ilmu dan pengalaman dalam bidang perniagaan.

"Saya tiada asas langsung atau kelulusan pengajian perniagaan tetapi ada minat untuk belajar.

"Ini kerana saya mahu cabar diri dan buktikan boleh berjaya seperti individu lain yang ada kelulusan tinggi.

"Seandainya ada rezeki, saya mahu jalankan perniagaan sendiri dan bantu anak muda lain yang kecundang dalam pelajaran untuk berjaya.

"Apa pun, saya berterima kasih kepada ibu (Azanurin Ab Halim@Noh) dan ayah (Mohd Sanusi Ismail) yang tidak henti beri sokongan dan mendoakan selama ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Ogos 2021 @ 7:16 PM