BENAZZI Fauzi yang menjalankan perniagaan menjual kopi di Seksyen 7, Bandar Baru Bangi. FOTO Aizuddin Saad
BENAZZI Fauzi yang menjalankan perniagaan menjual kopi di Seksyen 7, Bandar Baru Bangi. FOTO Aizuddin Saad
Redzuan Muharam


Bangi: Bermula dengan menjadi 'pemburu' air kopi di merata tempat, siapa sangka Ahmed Benazzi Fauzi kini bergelar usahawan minuman berkenaan.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Pesawat lulusan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) itu berkata, minat yang membuatkannya terjebak hingga yakin untuk membuka gerai di Seksyen 7, di sini, di bawah sebuah francais.

Meskipun tiada pengalaman sebagai barista, Ahmed Benazzi, 27, memberanikan diri untuk mengambil risiko melabur wang simpanannya untuk membuka perniagaan berkenaan sejak Oktober tahun lalu dengan bantuan seorang pekerja.

"Selepas tamat pengajian di peringkat ijazah, saya ada mohon pekerjaan namun tiada rezeki kerana banyak syarikat tangguhkan pengambilan kakitangan pada waktu itu kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Jadi, saya bincang dengan abang sebelum kami sepakat bekerjasama dalam menawarkan perkhidmatan pembersihan.

"Sambutan amat baik, malah ada permintaan daripada pelanggan di Negeri Sembilan namun pergerakan agak terbatas menyebabkan tak dapat pergi ke sana.

"Akhirnya, saya ambil keputusan untuk beralih ke perniagaan minuman kopi. Perkhidmatan pembersihan ditawarkan sebelum ini masih ada cuma diuruskan rakan kongsi yang kini fokus dalam cucian permaidani saja," katanya ketika ditemui Harian Metro.

Bercerita lanjut, Ahmed Benazzi berkata, keluarga tidak begitu menyokong minatnya untuk menceburi bidang perniagaan.

Bagaimanapun, Ahmed Benazzi nekad kerana melihat perniagaan itu berpotensi untuk pergi jauh.

"Keluarga nasihatkan saya cari kerja tetap, kalau boleh jadi jurutera selari dengan bidang pengajian saya.

"Disebabkan minat, saya teruskan juga kerana nampak perniagaan kopi itu bukan trend semata-mata tetapi ada penggemarnya tersendiri.

"Cuma, cabarannya tetap ada, antaranya cuaca kerana saya berniaga di tepi jalan dan pernah juga khemah diterbangkan ribut namun setakat ini keadaan masih terkawal," katanya.

Berkongsi mengenai pulangan diperoleh, Ahmed Benazzi berkata, pendapatan diterima tidak menentu tetapi dia bersyukur dengan hasil diperoleh.

"Sebelum ini, banyak juga dapat dengan anggaran RM400 tetapi kini kurang sedikit namun masih okay.

"Respon pelanggan baik tetapi ada juga yang beri input untuk tambah baik dan saya terima saja.

"Jika ada rezeki, saya mahu kembangkan lagi, kalau boleh mahu tambah cawangan di tempat lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Jun 2023 @ 4:33 PM