ANGGOTA bomba mengangkat jasad dua mangsa yang terkorban di tempat kejadian, malam kelmarin. FOTO Ihsan bomba
ANGGOTA bomba mengangkat jasad dua mangsa yang terkorban di tempat kejadian, malam kelmarin. FOTO Ihsan bomba
Mohamed Farid Noh

DUA pekerja melakukan kerja pemasangan kabel maut terkena renjatan elektrik dalam kejadian di Jalan Bunga Raya, Leisure Farm Resort, Gelang Patah, dekat Iskandar Puteri, kelmarin.

Dalam kejadian jam 8 malam berkenaan, Mohd Faizul Mohd Fauzi, 37, dan Shahlan Mohamed, 30, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Anuar Mohd Amdzah dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri, berkata, satu jentera dengan sembilan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan jam 8.20 malam.

"Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi kejadian didapati dua mangsa berkenaan berada dalam takungan air dipercayai terkena renjatan elektrik ketika melakukan kerja pemasangan kabel di situ.

"Anggota menaikkan dua mangsa berkenaan di tebing selepas Tenaga Nasional Bhd (TNB) memotong aliran arus elektrik di situ.

"Kedua-dua mangsa disahkan sudah meninggal dunia di tempat kejadian sebelum diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Mohd Anuar berkata, operasi ditamatkan jam 10.05 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Ogos 2020 @ 7:00 AM