GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang mengeluarkan notis larangan ke atas sebuah kilang di Kawasan Perusahaan Prai, di sini.

Notis larangan itu dikeluarkan terhadap kilang itu atas kesalahan gagal menyediakan sistem kerja selamat bagi kerja penukaran bumbung sehingga mengorbankan seorang pekerja premis itu dalam kemalangan, pagi kelmarin.

Pengeluaran notis larangan berkenaan dibuat mengikut Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Pengarah JKKP negeri hari ini memaklumkan lokasi kejadian turut disita secara fizikal untuk memastikan tidak berlaku kejadian kacau ganggu untuk siasatan selanjutnya.

"Majikan juga diarahkan untuk menyediakan dokumen tambahan bagi membantu proses siasatan lanjut dengan kadar segera.

"Tindakan perundangan akan diambil sekiranya didapati terdapat pelanggaran peraturan mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 ke atas pihak yang bertanggungjawab," katanya.

Dalam kejadian 11.45 pagi kelmarin, seorang pekerja buruh am lelaki warga tempatan dilaporkan maut ketika sedang melakukan kerja menukar bumbung jenis zink di bahagian belakang bangunan pengeluaran di kilang terbabit.

Mangsa dikatakan memijak bahagian zink yang rapuh dan tiada penyokong menyebabkan dia terjatuh di ketinggian lebih lima meter daripada paras bumbung ke lantai.

Susulan kejadian itu, sepasukan pegawai JKKP negeri ke lokasi kejadian dan menjalankan siasatan sebaik sahaja menerima berita mengenai kemalangan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Ogos 2021 @ 7:40 PM