DATUK Seri Ahmad Faizal Azumu.
DATUK Seri Ahmad Faizal Azumu.
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berbesar hari di atas kepercayaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melantiknya sebagai Menteri Belia dan Sukan sekali gus memberi peluang untuk memberi khidmat kepada belia dan meletakkan sukan sebagai pemangkin perpaduan.

Beliau turut menjunjung setinggi kasih di atas perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"Saya sangat berbesar hati berpeluang untuk memberi khidmat kepada seluruh warga belia Malaysia. Saya juga bersyukur dapat berperanan dalam meletakkan sukan sebagai pemangkin perpaduan dan melonjakkan nama negara di persada dunia," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, pengalaman panjangnya bersama gerakan belia mengukuhkan pandangan bahawa warga belia adalah nadi kepada negara.

"Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mempunyai peranan penting untuk memperkukuh naratif 'Keluarga Malaysia' yang dihasratkan oleh Perdana Menteri.

"Saya yakin, dalam suasana cukup mencabar ini, dedikasi dan kesungguhan para belia akan menjadi nadi penggerak penting untuk kita bangkit semula," katanya

Katanya, memahami hasrat Perdana Menteri untuk barisan kabinet segera melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan beliau bersedia dan akan patuh kepada arahan yang akan diberikan beliau dari semasa ke semasa.

Terdahulu, pembentukan kabinet di bawah pentadbiran Perdana Menteri kesembilan itu menyaksikan dua muka baharu dilantik sebagai menteri.

Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden BERSATU menggantikan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, yang bertukar portfolio kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Ogos 2021 @ 6:30 PM