Ahmad Faizal Azumu.
Ahmad Faizal Azumu.
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak menzahirkan ucapan tahniah kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chenderiang merangkap Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan.

Speaker Dun Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata, pihaknya berharap agar pelantikan itu dapat membawa manfaat besar kepada pembangunan sukan dan pengukuhan peranan serta institusi belia di negeri ini.

"Sebelum saya membuat pengumuman mengenai beberapa perkara pada persidangan hari ini, saya mewakili Dun Perak ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan penghargaan dan mengucapkan ucapan tahniah kepada YB Chenderiang atas pelantikan sebagai Menteri Belia Dan Sukan seperti diumumkan Perdana Menteri pada Jumaat lalu.

"Insya-Allah, kita berharap pelantikan YB Chenderiang ini akan membawa manfaat besar kepada pembangunan sukan dan pengukuhan peranan serta institusi belia di Perak," katanya.

Beliau berkata demikian pada Persidangan Dun Perak di Dewan Negeri Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan barisan Kabinet baharu, Jumaat lalu.

Ahmad Faizal dilantik menggantikan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, yang bertukar portfolio kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Dalam pada itu, Mohammad Zahir berkata, penggunaan ruang utama Dewan Negeri hari ini dibenarkan untuk semua Adun berada di dalam Dewan Utama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Ogos 2021 @ 3:30 PM