FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Sebanyak 13 lokaliti di Johor, Kelantan, Sabah, Perak dan Selangor dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Jumaat ini hingga 19 Ogos depani.

Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, lokaliti dikenakan PKPD itu adalah di Taman Puteri, Kluang, Johor; Taman Sri Kebakat, Tumpat, Kelantan serta dua lokaliti di daerah Kunak, Sabah membabitkan Perumahan Ladang Mostyn dan Kampung Kasnuri.

Menurutnya, lokaliti lain dikenakan PKPD adalah di Kampung Kuala Mengalong, Sipitang, Sabah serta dua lokaliti di Kota Kinabalu iaitu Kampung Tanjung Aru Lama dan Universiti Apartment 1.

"Lokaliti dikenakan PKPD juga adalah di Kampung Menteri Kuala Sepetang, Mukim Matang, Larut Matang Selama, Perak; Kilang Comfort Rubber Glove di Simpang dan Matang serta Asrama Kilang Comfort Rubber Glove, Hujung Matang, Perak.

"Dua lagi lokaliti adalah Kampung Belum Baru, Hulu Perak dan Gugusan Semarak, PJU 5, Kota Damansara, Selangor," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Hishammuddin berkata, PKPD yang ditamatkan bermula esok adalah Kondominium One Borneo, Kota Kinabalu, Sabah; Kampung Istimewa, Batu Sapi, Sandakan, Sabah; Taman Merpati, Sandakan, Sabah; Felda Jengka 12, Jerantut, Pahang dan Bandar Pulai Jaya, Mukim Sungai Raia, Kinta, Perak.

Mengulas mengenai pematuhan prosedur operasi standard (SOP), beliau berkata, 248 individu dikompaun manakala 25 lagi direman kerana gagal mematuhi SOP ditetapkan.

"Pasukan Task Force Operasi Pematuhan dengan kekuatan 19,004 anggota melaksanakan 90,155 pemeriksaan Covid-19 bagi menguatkuasakan pematuhan SOP di seluruh negara.

"Bagi sektor perkilangan, 41 premis diarah ditutup serta-merta kerana gagal mematuhi SOP," katanya.

Menurutnya, menerusi Op Benteng pula, 10 pendatang asing tanpa izin ditahan dan tiga kenderaan darat dirampas.

Katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuat 780 pemantauan khas harian ke atas 10 jenis bekalan barangan keperluan asas membabitkan 592 peruncit, pemborong (157) dan pengilang (31).

"KPDNHEP melakukan 1,903 pemeriksaan khas dan daripada jumlah itu, semua premis mematuhi SOP," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Ogos 2021 @ 7:29 PM