DR Christina. FOTO Malai Rosmah Tuah
DR Christina. FOTO Malai Rosmah Tuah
Yun Mikail

SERAMAI 3,125 individu yang ditempatkan di pusat kuarantin seluruh negeri ini menerima Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS).

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Christina Rundi berkata, mereka adalah pesakit di bawah pemantauan (PUI) dan petugas kesihatan.

“Sesi kaunseling ini dilaksanakan oleh pegawai bilik gerakan Hospital Mesra Bukit Padang dan anggota MHPSS yang terlatih seperti pakar psikiatri, pegawai perubatan, pegawai psikologi kaunseling dan pegawai kaunseling klinikal di semua daerah.

“Antara perkhidmatan diberikan ialah intervensi individu dan psikopendidikan, kaunseling, aktiviti kumpulan, maklumat infografik, saringan DASS-21 dan Mental Health Alert card yang disampaikan secara digital.

“Operasi perkhidmatan ini dibuat setiap hari bermula jam 8 pagi hingga 5 petang,” katanya menerusi kenyataan media di Kota Kinabalu.

Dalam pada itu, terdapat 9,653 PUI di Sabah dan daripada jumlah itu, 6,288 adalah kontak rapat manakala 3,365 kontak rapat sudah menamatkan tempoh kuarantin di rumah selama 14 hari mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (APPPB) 1988.

Christina berkata, 623 individu dikuarantin di 24 pusat kuarantin seluruh negeri manakala 53 orang sudah dibenarkan pulang, semalam.

Dalam pada itu, Christina berkata sebanyak 812 ujian sudah dijalankan setakat kelmarin dan 11 ujian didapati positif termasuk satu sampel ulangan.

“Selain itu, seramai 177 pesakit Covid-19, 89 PUI dan 41 pesakit dengan ‘Severe Acute Respiratory Infection’ (SARI) sedang dirawat di enam hospital berpakar seluruh negeri sehingga semalam.

“11 pesakit disahkan sembuh sekali gus menjadikan kumulatif pesakit sembuh seramai 33 orang,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 April 2020 @ 10:51 AM