GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Oleh Noorazura Abdul Rahman


Baling: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah mengesan satu kes positif Covid-19 membabitkan mangsa bencana banjir yang melanda daerah ini Isnin lalu.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr Othman Warijo berkata, individu yang positif Covid-19 kategori dua itu sudah diasingkan di wad isolasi Hospital Baling.

Selain itu, katanya, tiga kontak rapat yang dikenal pasti turut diasingkan di pusat pemindahan sementara (PPS) khas.

"Semua kontak rapat berkenaan tidak bergejala dan didapati negatif melalui ujian RTK-Ag.

"JKN turut menjalankan pemantauan terhadap penyakit berjangkit dalam kalangan penduduk yang terbabit terutamanya Covid-19, penyakit seakan Influenza (ILI), leptospirosis, cirit-birit dan penyakit bawaan makanan dan air," katanya pada kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, Dr Othman berkata, pihaknya juga menggerakkan Pasukan Perkhidmatan Sokongan Kesihatan Mental dan Psikososial yang membuat penilaian respons psikososial di lapangan serta memberi bantuan kecemasan psikososial kepada mangsa banjir yang terkesan.

"Bencana alam ini juga berisiko memberikan kesan kepada kesihatan mental penduduk yang terkesan.

"Pasukan ini akan terus memantau tahap kesihatan mental mangsa dan petugas dari semasa ke semasa. Kami menasihati mereka yang mengalami masalah seperti tekanan, keresahan dan kemurungan ekoran bencana untuk hadir ke klinik berdekatan bagi mendapatkan bantuan sokongan," katanya.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Julai 2022 @ 3:02 PM