TUAN Ibrahim Tuan Man. FOTO Arkib NSTP.
TUAN Ibrahim Tuan Man. FOTO Arkib NSTP.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Pas menyifatkan ucapan sulung Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan gesaan bersepakat menyelamatkan Keluarga Malaysia satu pendekatan baik dalam menyatupadukan rakyat negara ini.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihaknya menyambut baik gesaan itu, harapan dan kesungguhan Ismail Sabri supaya seluruh kepimpinan politik dapat memberi perhatian dalam mewujudkan ketenangan dan keharmonian, agar fokus kepada pemulihan krisis akibat pandemik Covid-19.

"Pas juga menyambut baik ruang tawaran Kerajaan Perikatan Nasional (PN) kepada kepimpinan pembangkang bagi menganggotai Majlis Pemulihan Negara dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19," katanya dalam kenyataan, malam ini.

Tuan Ibrahim berkata, semua pihak diharap dapat menyerap semangat pejuang kemerdekaan negara ketika berada di bulan ini.

"Kemerdekaan daripada menentang penjajahan seterusnya membangunkan negara. Jadi, marilah bersama-sama bekerja sebagai satu pasukan demi negara tercinta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Ogos 2021 @ 9:32 PM