TUAN Ibrahim pada sidang media selepas majlis cabutan undi kerja-kerja Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) peringkat jajahan Kota Bharu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
TUAN Ibrahim pada sidang media selepas majlis cabutan undi kerja-kerja Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) peringkat jajahan Kota Bharu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Kemenangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, semalam memberikan isyarat jelas bahawa rakyat menerima kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, bantuan berterusan diumumkan Perdana Menteri sepanjang pandemik Covid-19 diterima baik dan ditunjukkan menerusi PRN Sabah.

"Saya selaku kepimpinan PAS mengucapkan tahniah kepada GRS yang memenangi PRN dengan cemerlang hasil Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).

"Apa yang penting kini, parti yang menang perlu pandang ke hadapan dan duduk semeja bagi merancang pembangunan rakyat di Sabah.

"PAS walaupun tidak bertanding, kita tetap turunkan jentera dan hampir kesemua kepimpinan parti turun padang bagi membantu parti rakan mencapai kemenangan," katanya.

Beliu berkata demikian pada sidang media selepas majlis cabutan undi kerja-kerja Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) peringkat jajahan Kota Bharu, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, kemenangan PRN itu juga menunjukkan indikator baik kepada gabungan parti Kerajaan Persekutuan untuk berdepan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Namun katanya, ia bukanlah jaminan untuk berasa selesa dengan situasi berkenaan kerana situasi politik sentiasa berdepan cabaran.

"Saya nak kata selesa pun tidak juga, politik ada cabaran. Cuma indikator yang ditunjuk (PRN Sabah) itu agak baik bagi kami di Semenanjung khususnya kalau kerajaan bersedia untuk bubar Parlimen," katanya.

Mengulas mengenai pemilihan Ketua Menteri Sabah, beliau yang juga Menteri KASA berkata, PAS tidak terbabit dalam menentukan siapa yang bakal dilantik, sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada parti yang bertanding.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 September 2020 @ 2:35 PM