DATUK Seri Tuan Ibrahim Tuan Man ketika membaca ucapan perasmian Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia kali ke-61 di Pusat Tarbiah Islam Kelantan (PUTIK), di sini. FOTO Siti Rohana Idris
DATUK Seri Tuan Ibrahim Tuan Man ketika membaca ucapan perasmian Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia kali ke-61 di Pusat Tarbiah Islam Kelantan (PUTIK), di sini. FOTO Siti Rohana Idris
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: PAS akur dengan keputusan presiden parti untuk tidak meletakkan calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bagi mewakili parti itu.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tidak dinafikan sebahagian besar ahli PAS kecewa dengan keputusan yang dibuat oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang namun mereka perlu patuh.

Beliau berkata, keputusan itu adalah disebabkan ingin mengelak pertembungan sesama rakan dalam Muafakat Nasional iaitu calon dari Barisan Nasional serta Parti Pribumi Bersatu (BERSATU).

"PAS berpegang dengan apa yang sudah kita persetujui iaitu ingin mengelak pertembungan sesama rakan sekaligus memberi ruang kepada pembangkang untuk mencapai kemenangan.

"Secara keseluruhannya kepimpinan PAS di Sabah dan jentera parti akur dengan keputusan yang dibuat oleh presiden," katanya ketika sidang media selepas merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia kali ke-61 di Pusat Tarbiah Islam Kelantan (PUTIK), di sini.

Tuan Ibrahim memberi jaminan bahawa rasa kecewa dalam kalangan ahli parti itu boleh diuruskan dengan baik malah menyifatkan ahli PAS dikenali sebagai pengikut yang patuh dengan keputusan parti.

Beliau juga menganggap keputusan tidak meletakkan calon PAS itu adalah strategi politik walaupun pada awalnya pihak mereka mendesak turut diberikan laluan.

"Sebenarnya PAS sudah terbabit dari awal lagi (peringkat perbincangan), cuma dibuat keputusan (tidak letak calon) walaupun kita mendesak PAS juga diberikan laluan.

"Tapi ada beberapa perkara yang fikir kita berjiwa besar, kita setuju dengan pandangan dari presiden sebab mekanisme menghadapi pilihan raya kena ada strategi betul.

"Kita mengelak perangkap yang dipasang oleh musuh supaya kalau bertanding kita akan bertembung sesama sendiri dan natijahnya adalah kerugian kepada Muafakat Nasional," katanya.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 September 2020 @ 3:00 PM