GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Noor Hidayah Tanzizi


Manjung: Polis sedang mengesan pemandu Proton Preve yang terbabit kemalangan menyebabkan tiga lelaki maut di Kilometer 4 Jalan Kampung Acheh - Sitiawan, di sini, semalam.

Dalam kejadian 5.30 petang itu, mangsa yang meninggal dunia ialah Mohd Nur Hisham Hassan, 29, Hasrandy Bahrum, 27, dan Mohd Suhail Zainal, 22.

Kejadian turut menyebabkan tiga lelaki parah manakala tiga lagi cedera termasuk seorang wanita.

Kemalangan itu membabitkan Proton Preve berkenaan dengan enam motosikal.

Mangsa terdiri daripada penunggang dan pembonceng motosikal yang bekerja di sebuah syarikat minyak dan gas di Kampung Acheh.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, pemandu kereta iaitu lelaki berusia 38 tahun melarikan diri selepas kejadian.

Menurutnya, pihaknya turut menahan penumpang hadapan kereta berkenaan iaitu lelaki berusia 24 tahun selepas ujian awal saringan air kencingnya didapati positif methamphetamine mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Penumpang kereta itu direman bermula hari ini sehingga 24 Ogos ini untuk tindakan lanjut. Kita juga sedang mengesan pemandu kereta," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nor Omar berkata, siasatan awal mendapati Proton Preve itu terbabas dan masuk ke laluan bertentangan sebelum melanggar enam motosikal.

"Akibat daripada pelanggaran itu, tiga mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, manakala enam lagi cedera dan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Lily Suryana Roslaili di talian 013-6559693 bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Ogos 2021 @ 12:53 PM