Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Jabatan Perhutanan Kedah (JPNK) sedang mengesan seorang lelaki dikenali sebagai 'Mat Jan' kerana disyaki terbabit dalam aktiviti pembalakan haram di Kompartmen 4, Hutan Simpan Gunung Inas, Baling membabitkan kerugian kira-kira RM300,000 sejak seminggu lalu.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK), Muhamad Abdullah berkata, lelaki yang berasal dari Kupang, Baling itu dipercayai mengupah beberapa lelaki lain bagi menebang pokok balak di kawasan hutan seluas lima hektar berkenaan.

Beliau berkata, JPNK mendapat maklumat awam pada jam 11 pagi semalam, sebelum pasukan bertugas mengesan terdapat kegiatan pembalakan haram di kawasan terbabit kira-kira jam 2 petang.

"Apabila tiba di lokasi, terdapat dua lelaki berusia 40-an sedang melakukan kerja menebang pokok dan menarik kayu di dalam hutan simpan, namun mereka melarikan diri ke dalam hutan.

"Mereka turut disyaki membina jalan sepanjang dua kilometer (km) untuk memindahkan balak yang dilakukan pada waktu malam dan awal pagi bagi mengelak dihidu pihak berkuasa," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Muhamad berkata, hasil penggeledahan, anggotanya menemui kesan tebangan pokok, jentolak, mesin gergaji, motosikal serta tujuh batang balak yang baru ditebang antaranya jenis balau, gerutu, merbau, pulai dan medang.

Katanya, sebuah jengkaut yang diguna untuk pembalakan turut ditemui di ladang kelapa sawit berhampiran berikutan terdapat kesan laluan ke lokasi pembalakan.

"Dari maklumat awam kerja pembalakan haram ini dilakukan individu tempatan dikenali sebagai 'Mat Jan' yang berasal dari Kupang, Baling. Kita masih menyiasat sama ada kegiatan ini membabitkan sindiket atau persendirian.

"Satu laporan polis sudah dibuat di Balai Polis Kupang untuk siasatan dan tindakan lanjut oleh JPNK," katanya.

Muhamad berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 15 Akta Perhutanan Negara 1984 yang jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM500,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun.

Katanya, semua barang rampasan dan sitaan dibawa keluar dan dihantar ke stor di Pejabat Hutan Renjer Jeniang, Kuala Muda.

ANTARA kesan pembalakan haram di Kompartmen 4, Hutan Simpan Gunung Inas, Baling. FOTO ihsan JPNK
ANTARA kesan pembalakan haram di Kompartmen 4, Hutan Simpan Gunung Inas, Baling. FOTO ihsan JPNK

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Ogos 2021 @ 11:21 AM