Azmi Abu Kassim
Azmi Abu Kassim
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Polis melarang mana-mana pihak yang merancang mahupun hadir dalam sebarang perarakan dan perhimpunan di sekitar ibu kota, esok.

Ia susulan perintah dikeluarkan Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini berhubung larangan sebarang perarakan dari Kompleks Sogo dan Masjid Jamek (termasuk kawasan sekitar yang berada dalam radius satu kilometer) serta perhimpunan di Dataran Merdeka, di sini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, pihaknya memberi amaran kepada pihak yang merancang untuk mengadakan perarakan dan perhimpunan, selain tidak dibenarkan hadir atau berada mahupun mengambil apa-apa bahagian.

Menurutnya, polis menyedari terdapat pihak tertentu sentiasa mengambil peluang untuk mengadakan perhimpunan dan perarakan.

"Ia secara jelas melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) walaupun mereka mendakwa permohonan sudah dibuat di bawah peruntukan Akta Perhimpunan Aman 2012.

"Polis amat berharap masyarakat memahami keselamatan kesihatan ketika ini adalah tidak menentu dan memungkinkan jangkitan berganda pada tahap luar biasa berlaku sekiranya tidak mematuhi SOP," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Azmi berkata, berikutan itu polis mengingatkan orang ramai supaya terus mematuhi SOP PPN bagi mengelakkan diri dan keluarga daripada jangkitan Covid-19.

"Kita berharap semua masyarakat faham tentang pentingnya mematuhi SOP dengan sentiasa memakai pelitup muka, menjaga penjarakan fizikal dan elakkan berada di dalam kelompok ramai agar bersama-sama dapat mengurangkan kadar jangkitan Covid-19.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menyalurkannya ke Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460584/585 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Ogos 2021 @ 7:12 PM