Nur Izzati Mohamad

Batu Kawan: Pemain sektor peruncitan diminta menyenaraikan pekerja mereka yang belum menerima vaksin Covid-19 untuk menyertai Program Vaksinasi Industri Peruncitan (RiVAC) yang bermula sejak 26 Julai lalu.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata, pengumuman pembukaan pelbagai sektor ekonomi membolehkan peniaga mengambil kesempatan untuk melakukan vaksinasi terhadap pekerja mereka dengan segera.

Katanya, ini kerana peniaga dapat kembali menjalankan operasi mereka dengan lebih cepat sekiranya pekerja sudah divaksinasi.

"Tambahan pula, pelanggan yang lengkap vaksinasi juga amat sensitif untuk mengetahui kedai mana lebih selamat dikunjungi.

"Apabila peniaga menampal notis jumlah pekerja divaksinasi, ia secara tidak langsung memberi keyakinan serta rasa selamat kepada pelanggan," katanya.

Beliau berkata pada sidang media selepas mengadakan lawatan bersama Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow di Pusat RiVAC Pulau Pinang di Design Village, di sini, hari ini.

ANTARA pekerja dalam sektor peruncitan yang hadir untuk menerima suntikan vaksin Covid-19. FOTO Danial Saad
ANTARA pekerja dalam sektor peruncitan yang hadir untuk menerima suntikan vaksin Covid-19. FOTO Danial Saad

Katanya, peniaga digalakkan tampil untuk menyenaraikan pekerja mereka melalui kerajaan negeri mahupun pihak KPDNHEP untuk membolehkan proses vaksinasi dapat dilakukan dengan segera.

"Walaupun negara meletakkan sasaran populasi dewasa mencapai 80 peratus imuniti kelompok menjelang Oktober ini, namun bagi sektor peruncitan diharap dapat lebih awal daripada itu dengan adanya RiVAC.

"KPDNHEP bersedia membantu dan melakukan apa sahaja untuk menyegerakan proses vaksinasi pekerja dalam sektor peruncitan seperti yang dilakukan di Pahang, baru-baru ini apabila kita membawa kumpulan pekerja dengan 10 bas untuk mendapat vaksin di Kuala Lumpur," katanya.

Sehingga kini, seramai 45,960 pekerja sudah menerima vaksinasi menerusi RiVAC dan daripada jumlah itu, 13,500 pekerja sudah lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19.

Hasnol berkata, terdapat sembilan pusat RiVAC di seluruh negara iaitu tiga di Pulau Pinang, Kuala Lumpur (2), Selangor (2), Putrajaya (1) dan Melaka (1).

"Kita dalam perancangan untuk membuka tiga lagi pusat RiVAC iaitu di Kedah, Pahang dan Johor sekali gus mempercepatkan imuniti kelompok dalam sektor peruncitan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Ogos 2021 @ 4:31 PM