GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Seramai 29,105 pekerja industri menerima vaksin menerusi Program Vaksinasi Industri Peruncitan (RiVAC) di Lembah Klang sejak 26 Julai lalu.

Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya bekerjasama dengan Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) dalam melaksanakan program berkenaan.

"Program ini akan diperluaskan ke negeri lain seperti Pulau Pinang dan Johor tidak lama lagi berdasarkan pendaftaran yang diterima.

"KPDNHEP melalui pelbagai kenyataan dan program libat urus dengan pemain industri peruncitan serta pengedaran sebelum ini menekankan mereka perlu mempersiapkan diri.

"Ini bagi menyahut seruan kerajaan membuka perniagaan di semua sektor secara berperingkat dengan syarat semua pekerja lengkap divaksin dan premis dilengkapi dengan segala keperluan untuk melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang masa," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Alexander berkata, kebenaran makan di restoran (dine-in) bagi mereka yang sudah menerima vaksin lengkap memberikan kelegaan dalam kalangan pengguna dan pengusaha kedai makan, restoran dan kafe di negeri Fasa 2 dan 3.

"Penguat kuasa KPDNHEP akan memastikan semua SOP dipatuhi sepenuhnya oleh pengunjung dan premis terbabit.

"Kemudahan dan fleksibiliti diberikan dalam pengumuman itu pastinya dapat merancakkan pelbagai ekonomi domestik ke arah pembukaan lebih banyak sektor ekonomi dan sosial secara berperingkat tidak lama lagi," katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin atas pengumuman berhubung kemudahan bagi individu menerima vaksinasi lengkap yang bermula hari ini.

"Ketika ini, seramai 15.35 juta atau 65.6 peratus individu dewasa sudah menerima dos pertama dan 8.25 juta atau 35.3 peratus individu dewasa pula sudah lengkap menerima dua dos vaksin dengan kadar vaksinasi harian melepasi paras 500,000 dos.

"Melihat kepada angka itu, kami yakin negara berada di landasan yang betul untuk keluar dari pandemik ini dengan lebih teratur dan selamat," katanya.

Beliau menyeru kepada semua komuniti pengguna dan peniaga untuk bekerjasama memastikan kepatuhan yang tinggi terhadap semua SOP walaupun kelonggaran diberikan terutama di negeri Fasa 2 dan 3.

"Ia adalah demi kesihatan dan keselamatan, ekonomi serta kelangsungan perniagaan selain kesejahteraan rakyat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Ogos 2021 @ 2:15 PM