Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menerima 85 kertas cadangan daripada pengurusan kompleks perniagaan di seluruh negara yang berminat menjadikan premis mereka sebagai lokasi pusat pemberian vaksin industri (PPVIN) untuk Program Vaksinasi Industri Peruncitan (RiVAC).

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata, jumlah itu sangat menggalakkan dan pihaknya perlu meneliti kertas cadangan terbabit terlebih dahulu bagi memastikan premis berkenaan menepati syarat ditetapkan untuk pelaksanaan program vaksinasi pekerja barisan hadapan dalam industri peruncitan.

Menurutnyaa, permintaan itu diterima dari seluruh negara namun pelbagai aspek perlu dilihat terlebih dahulu termasuk perlu memenuhi sasaran kapasiti vaksinasi kepada 1,500 pekerja ke atas dalam sehari.

"Apabila syarat-syarat seperti yang diperlukan seperti maklumat syarikat, senarai pekerja, cadangan tapak, keluasan, kapasiti dan cadangan prosedur operasi standard (SOP) itu dipenuhi, kita akan bincang dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk diluluskan.

"Sebagai permulaan, RiVAC ini akan dilancarkan di Lembah Klang bermula dengan PPVIN di Mid Valley dan IOI City Tower pada 26 Julai ini, 1Utama Shopping Centre (27 Julai) dan Centro Mall Klang (28 Julai).

"Kita menjangkakan seramai 83,500 pekerja barisan hadapan sektor ekonomi peruncitan seperti juruwang, jurujual, kru restoran, kru pasar raya dan pusat beli-belah akan menerima vaksinasi di empat PPVIN di Lembah Klang itu nanti," katanya ketika Program Lawatan Outreach Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan Penyerahan Kerusi Roda Untuk PPV Masjid Peradong di Manir di sini, hari ini.

FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.

Terdahulu, Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu turut menyumbang lima kerusi roda dan dua modem jaringan tanpa wayar (WiFi) untuk kegunaan di PPV masjid berkenaan.

Rosol berkata, kementeriannya turut menyeru pemain industri untuk segera mendaftarkan pekerja mereka dalam RiVAC memandangkan jumlah pendaftaran setakat ini adalah kira-kira 187,000 orang berbanding terdapat seramai 500,000 pekerja barisan hadapan sektor peruncitan yang disasarkan.

Menurutnya, pihaknya menjangkakan program vaksinasi membabitkan barisan hadapan sektor ekonomi peruncitan dan pengedaran itu diselesaikan menjelang September ini, sekali gus mempercepatkan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Julai 2021 @ 4:24 PM