MOHD Firdaus Mohd Razali,39, (dua dari kiri) mencipta rekod tersendiri apabila membeli kambing baka jenis Boer dengan harga RM20,000 seekor. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
MOHD Firdaus Mohd Razali,39, (dua dari kiri) mencipta rekod tersendiri apabila membeli kambing baka jenis Boer dengan harga RM20,000 seekor. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Terengganu: "Saya sanggup jual dua lembu baka charolais kesayangan semata-mata untuk beli kambing baka itu," kata Mohd Firdaus Mohd Razali.

Mohd Firdaus, 39, membeli kambing baka Boer dengan harga RM20,000 seekor, sekali gus mencatat pembelian kambing termahal pada tahun ini.

Katanya, dia menjual dua lembu charolais dengan harga RM50,000 kepada seorang penternak di Kampung Manir, Terengganu dan membeli kambing baka di Bachok, Kelantan.

"Memang sayang kerana terpaksa melepaskan dua lembu kesayangan itu. Jika ikutkan hati, saya mahu jual seekor sahaja tetapi pembeli meletakkan syarat membeli dua serentak.

"Bagaimanapun saya berasa puas kerana kambing Boer betina berusia 10 bulan itu menjadi milik saya sekarang," katanya yang berasal dari Kampung Beris Lalang, Bachok, Kelantan.

Menurutnya, kambing Boer dibelinya itu akan memberi keuntungan berlipat kali ganda apabila mula menghasilkan anak baka Boer berkualiti tinggi.

"Bayangkan seekor anak kambing Boer berusia tiga bulan boleh dijual pada harga RM10,00 ke atas sekarang.

"Harga kambing baka itu sentiasa meningkat dari semasa ke semasa dan permintaannya semakin tinggi sekarang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Ogos 2021 @ 1:17 PM