ISMAIL Sabri ketika tiba untuk perjumpaan bersama pemimpin parti. FOTO Eizairi Shamsudin.
ISMAIL Sabri ketika tiba untuk perjumpaan bersama pemimpin parti. FOTO Eizairi Shamsudin.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Beberapa jam selepas pengumuman pelantikannya sebagai Perdana Menteri Kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengadakan perjumpaan dengan beberapa pemimpin Umno di sebuah hotel di sini, malam ini.

Antara pemimpin yang dilihat hadir ialah Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin; Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said.

Ketika ditemui media, Naib Presiden Umno itu berkata, tiada sebarang kenyataan akan dikeluarkan hari ini.

"Sebarang kenyataan media akan dikeluarkan esok," katanya.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada petang, hari ini berkenan mengumumkan pelantikan Ahli Parlimen Bera itu sebagai Perdana Menteri Kesembilan selaras Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat serta Menandatangani Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri akan berlangsung di Istana Negara pada 2.30 petang, esok.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Ogos 2021 @ 10:37 PM