Amir Abd Hamid dan Raja Noraina Raja Rahim dan Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Pelantikan Ahli Parlimen Bera Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Kesembilan selepas menerima sokongan 114 Ahli Parlimen, sekali gus majoriti mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Sokongan ahli Dewan Rakyat itu dizahirkan menerusi surat akuan yang diterima Istana Negara pada 18 Ogos lalu dan disusuli sesi menghadap bersama Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam, bagi mengesahkan kepercayaan mereka ke atas Ismail Sabri.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka Baginda berkenan melantik Naib Presiden Umno itu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan selepas berpandangan beliau mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

"Proses seterusnya ialah lstiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat serta Menandatangani Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri yang dijadualkan pada 21 Ogos 2021 (esok), jam 2.30 petang di lstana Negara," katanya menerusi kenyataan dikeluarkan hari ini.

Terdahulu, Seri Paduka Baginda berkenan berangkat menghadiri dan mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara yang berlangsung selama dua jam bermula 2.30 petang.

Kata Ahmad Fadil, pada sesi Perbincangan Khas itu, Seri Paduka Baginda telah berkenan mewasalkan kepada Raja-Raja Melayu proses pencalonan bakal Perdana Menteri baharu, susulan daripada peletakan jawatan Tan Sri Mahiaddin Md Yasin pada 16 Ogos 2021 lalu.

"Proses ini adalah lanjutan daripada titah Seri Paduka Baginda semasa sesi menghadap bersama ketua-ketua dan wakil-wakil parti-parti politik utama negara pada 17 Ogos 2021 di mana kesemua 220 Ahli-ahli Dewan Rakyat adalah diminta untuk menyatakan nama seorang ahli Dewan Rakyat yang diberikan kepercayaan oleh Ahli-ahli Dewan Rakyat tersebut untuk menjadi Perdana Menteri menerusi surat akuan.

"Pencalonan bakal Perdana Menteri menerusi surat-surat akuan tersebut adalah dengan tujuan untuk membantu Seri Paduka Baginda membuat keputusan bagi melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan" katanya.

ISMAIL Sabri (tengah) ketika bersama rombongan Ahli Parlimen UMNO untuk menghadiri sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong. FOTO Hazreen Mohamad.
ISMAIL Sabri (tengah) ketika bersama rombongan Ahli Parlimen UMNO untuk menghadiri sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong. FOTO Hazreen Mohamad.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Ogos 2021 @ 5:39 PM