GAMBAR hiasan. FOTO Mohd Azren Jamaludin
GAMBAR hiasan. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Nurul Amanina Suhaini


KERAJAAN negeri mengumumkan beberapa inisiatif yang boleh meringankan impak ekonomi susulan Covid-19.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, antaranya bantuan one-off RM1,000 kepada semua pesakit yang positif wabak itu.

Katanya, mengikut rekod Jabatan Kesihatan Negeri Johor terdapat 88 pesakit positif Covid-19 dan sehingga jam 12 malam tadi, meningkat kepada 101 pesakit yang positif setakat ini.

“Kerajaan negeri juga bersetuju untuk memberi peruntukan one-off berjumlah RM20,000 kepada 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

“Sebagai tanda takziah kerajaan negeri, sebanyak RM2,000 akan disampaikan kepada setiap waris mangsa yang meninggal dunia akibat Covid-19.

“Pada masa sama, Majlis Agama Islam Negeri Johor akan mempertimbangkan bantuan segera bagi kategori asnaf yang terkesan,” katanya dalam sidang media secara langsung di laman sosial Facebooknya (FB).

Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus mengambil langkah-langkah dan inisiatif memaklumkan kepada masyarakat perkembangan dan status wabak itu dari semasa ke semasa.

“Selain kerajaan negeri akan memberi insentif pengecualian bayaran sewa premis pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pasar awam kepada 10,371 peniaga bermula April hingga Disember depan.

“Sementara itu, peniaga perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang beroperasi di 151 premis milik kerajaan negeri yang diuruskan Perbadanan Usahawan Negeri Johor juga akan diberi kelonggaran dan insentif yang sepatutnya,” katanya.

Beliau berkata, bagi kakitangan kerajaan negeri yang berstatus pekerja sambilan harian gaji mereka akan dikira sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

“Ini antara inisiatif yang akan disegerakan oleh kerajaan negeri, langkah seterusnya akan diberi perhatian termasuk segala bentuk bantuan akan kerajaan negeri usahakan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mac 2020 @ 12:46 PM