SKUAD Hang Cangkul yang dilhamkan Murtadha Dakwah Centre (MADAD) ditubuhkan bagi membantu proses pengebumian jenazah pesakit Covid-19 secara percuma di Kedah.
SKUAD Hang Cangkul yang dilhamkan Murtadha Dakwah Centre (MADAD) ditubuhkan bagi membantu proses pengebumian jenazah pesakit Covid-19 secara percuma di Kedah.
Izad Thaqif Hassan

Sungai Petani: Hang Cangkul. Nama berkenaan mungkin kedengaran agak lucu bagi segelintir pihak namun siapa sangka di sebalik gelaran itu sebenarnya tersembunyi jasa dan bakti yang tidak ternilai harganya.

Apakan tidak kerana Hang Cangkul ini sebenarnya adalah skuad pengurusan jenazah yang dilhamkan Murtadha Dakwah Centre (Madad), di sini, bagi membantu proses pengebumian jenazah pesakit Covid-19 secara percuma.

Skuad yang ditubuhkan tidak sampai sebulan itu kini sudah menguruskan hampir 100 jenazah dengan kemampuan sukarelawan terhad yang dipilih dalam kalangan berusia 30 tahun ke bawah.

Pengarah Urusan Madad, Mohammad Yaakub Yusra Yusuf berkata, idea untuk menubuhkan skuad Hang Cangkul tercetus apabila beliau melihat banyak kematian mendadak berlaku akibat Covid-19 dengan jenazah hanya dibiarkan atas lantai.

"Saya dijemput ke sebuah hospital dan melihatkan keadaan jenazah yang dibiar atas lantai membuatkan hati saya sebak.

"Sebaik pulang, saya masih terbayang-bayang keadaan di hospital terbabit lantas membuatkan saya terpanggil melakukan sesuatu dan selepas itulah idea menubuhkan Skuad Hang Cangkul terjadi," katanya.

Menurutnya, dia bersyukur apabila idea itu mendapat sambutan menggalakkan apabila lebih 400 individu memohon menjadi sukarelawan namun pihaknya terpaksa membuat tapisan terlebih dahulu mengikut kesuaian situasi pandemik selain memastikan mereka memenuhi kriteria ditetapkan seperti usia dan kesihatan.

"Alhamdulillah, walaupun Hang Cangkul baru ditubuhkan namun skuad ini sudah menunaikan fardu kifayah dengan menguruskan proses pengebumian lebih 100 jenazah pesakit Covid-19 secara percuma.

"Kita bersyukur kerana khidmat secara percuma ini sekurang-kurangnya dapat meringankan beban buat ahli keluarga yang masih bersedih dan diuji dengan kematian mangsa Covid-19," katanya.

Muhammad Yaakub Yusra berkata, buat masa ini skuad Hang Cangkul menggunakan van pelajar tahfiz Madad yang diubah suai untuk misi membantu pengurusan jenazah Covid-19 dan bersyukur kerana mendapat ihsan daripada Pusat Kecemerlangan As-Syafie (PAKSY) yang sudi meminjamkan sebuah lagi van jenazah kepada mereka.

"Impian saya semoga skuad Hang Cangkul dapat menyediakan khidmat seumpama ini di seluruh negara satu hari nanti sekali gus menarik lebih ramai golongan muda untuk menyertainya.

"Kita memang fokus kepada anak muda untuk menajdi sukarelawan Hang Cangkul kerana mereka kuat dan mempunyai banyak masa yang dapat dimanfaatkan sebaik mungkin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Ogos 2021 @ 4:54 PM