Ustaz Mohammad Yaakub Yusra Mohd Yusuf
Ustaz Mohammad Yaakub Yusra Mohd Yusuf
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: "Apa yang diusahakan ini adalah daripada ummah, kepada ummah semula. Kalaulah dapat RM10 juta keuntungan pun, saya hanya makan nasi sepinggan, tak makan selori. Akan tetapi, lori yang sama kita boleh kongsikan kepada ramai orang lain."

Demikian kata pendakwah bebas popular yang juga Pengarah Urusan Murtadha Dakwah Centre (Madad), Ustaz Mohammad Yaakub Yusra Mohd Yusuf mengenai objektif pembinaan pusat komuniti Islam pertama bertaraf antarabangsa di negara ini dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM35 juta.

Mohammad Yaakub Yusra berkata, pusat komuniti yang berpangkalan di Kampung Teluk, Sungai Layar, Sungai Petani, Kedah itu mengutamakan konsep mendekati golongan muda (gen-Z) demi memastikan golongan itu kekal melakukan aktiviti bermanfaat.

"Insya-Allah pembinaan stadium e-sukan akan dimulakan pada Ogos depan. Ia bakal jadi lokasi golongan sasaran untuk datang bermain. Kita buat tempat khas, tapi bila tiba waktu solat, kita sama-sama berjemaah.

"Kita tak boleh nafikan, kebanyakan anak-anak kita ramai yang gemar dengan permainan e-sukan. Tegur pun mungkin ada yang tetap main. Kalau kita tak mampu berlawan, mengapa tidak untuk kita 'berkawan'. Kita raikan mereka dan pada masa sama mendidik," katanya.

Bukan hanya itu, Mohammad Yaakub Yusra turut memaklumkan pusat komuniti itu turut dilengkapi dengan sebuah pusat tahfiz integrasi, masjid berasaskan ilmu falak, kapsul hotel dan pengurusan jenazah.

"Apa yang lebih membanggakan, semuanya bakal dinikmati secara percuma. Konsep yang diketengahkan itu bersesuaian dengan misi penubuhan Madad untuk menjadi organisasi yang menyediakan pendidikan, dakwah, amal dan sistem automasi untuk ummah.

"Pusat komuniti itu akan dilengkapi dengan sebuah masjid berasaskan ilmu falak dan beroperasi 24 jam yang diinspirasi Masjid Nabawi di Madinah dan kapsul hotel dengan nilai RM6.3 juta.

"Turut dibina adalah pusat tahfiz integrasi dan pusat pengurusan jenazah, rumah warga emas, hub sukan sunah (memanah, berenang, berkuda) serta penyediaan khidmat pengurusan jenazah," katanya.

Kata Mohammad Yaakub Yusra, pusat komuniti Islam itu mampu direalisasikan kerana pada masa ini Madad mempunyai ekosistem sendiri untuk memperoleh pendapatan pada setiap bulan dalam tempoh jangka masa panjang.

Tambahnya, antara perniagaan yang diusahakan Madad sekarang adalah pelaburan saham dan kripto patuh syariah, percetakan buku digital, penternakan ikan dan kambing serta dan beberapa perniagaan lain termasuk pertanian.

"Alhamdulillah pada masa ini, Madad memperoleh pendapatan menerusi pelaburan saham dan kripto yang melebihi RM1 juta dan percetakan digital pula kira-kira RM100,00O sebulan.

"Pendapatan lain pula membabitkan jualan hasil pertanian dan penternakan yang meraih pendapatan RM150,000 hingga RM200,000 sebulan.

"Namun buat masa sekarang disebabkan Madad masih di fasa pembangunan, maka kita masih memerlukan bantuan dan insya-Allah di masa hadapan, kita berimpian besar untuk tidak buat apa-apa kutipan lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 April 2022 @ 4:10 PM