MUHAMMAD Ridzuan bersama Nur Afifah memakai PPE untuk mengurus jenazah pesakit Covid-19. FOTO tular
MUHAMMAD Ridzuan bersama Nur Afifah memakai PPE untuk mengurus jenazah pesakit Covid-19. FOTO tular
Izad Thaqif Hassan


Sungai Petani: Sehari sebelumnya mereka berbaju pengantin dan bersanding di pelamin dalam majlis yang penuh meriah di Permatang Berangan, Tikam Batu, dekat sini.

Namun, semalam pasangan pengantin baru, Muhammad Ridzuan Osman, 34, dan isteri, Nur Afifah Habib, 26, menyarung pakaian perlindungan diri (PPE) kerana mengurus jenazah lelaki warga emas yang juga pesakit Covid-19 di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Amin Sungai Layar pada jam 5 petang.

Bagi Muhammad Ridzuan atau lebih dikenali sebagai Dik Wan yang juga Ketua Operasi Skuad Pengurusan Jenazah Percuma Hang Cangkul Murtadha Dakwah Centre (Madad), dia sudah terbiasa dengan keadaan itu dan bersyukur kerana isteri memahami tugasnya yang memang aktif sebagai sukarelawan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Dik Wan berkata, dia menerima panggilan daripada hospital memaklumkan kematian seorang pesakit berusia 80 tahun akibat Covid-19.

"Saya memberitahu isteri ada pesakit Covid-19 meninggal dunia dan dia bersetuju untuk pergi bersama mengambil jenazah di hospital seterusnya ke tanah perkuburan bagi urusan pengebumian.

"Mujur isteri faham malah dia sanggup bersama rakan sukarelawan lain menguruskan pengebumian sehingga selesai," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, dia mengenali isteri sejak setahun lalu dan lebih menarik mereka keluar 'dating' dengan menaiki van jenazah bersama beberapa rakan sukarelawan lain.

"Saya lihat isteri langsung tidak mengeluh malah menerima seadanya kerana tahu saya tidak memiliki kenderaan lain malah sejak daripada itu dia turut aktif dengan aktiviti sukarelawan yang dijalankan.

"Lama-kelamaan, isteri mula tertarik dan dia turut menyertai skuad Hang Cangkul dengan bersama menguruskan jenazah secara percuma," katanya.

Dia berkata, dia bersyukur kerana dapat memperisterikan wanita yang memahami dan 'sekepala' dalam menjalankan aktiviti sukarelawan bagi membantu insan yang dalam kesusahan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Disember 2021 @ 12:21 PM