Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Pengguna jalan raya di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu, di sini, hari ini, gempar dengan kehadiran Ultraman yang memandu van hijau dihiasi Jalur Gemilang.

Malah gelagat 'adiwira' itu turut mengejutkan petugas barisan hadapan di SJR berkenaan.

Terdahulu, van itu dilihat dipandu secara perlahan memasuki lorong pemeriksaan SJR sebelum ditahan polis bagi tujuan pemeriksaan.

Lelaki yang memakai kostum Ultraman itu, Mohamad Syukur Mohd Patthi, 27, berkata, tujuannya adalah semata-mata mahu menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan Ke-64 selain menceriakan petugas barisan hadapan.

Selain itu, katanya, dia mahu mengajak orang ramai supaya menunjukkan rasa cinta pada tanahair mengikut kreativiti masing-masing walaupun negara sedang berduka akibat pandemik Covid-19.

"Saya mempunyai beberapa kostum adiwira tetapi Ultraman menjadi pilihan kerana wataknya yang paling dekat di hati dan dikenali rakyat Malaysia.

"Saya mengambil masa sejam bagi menghiasi van ini dengan lebih 70 Jalur Gemilang yang kebanyakannya dilekat di bahagian atas," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

MOHAMAD Syukur memakai kostum Ultraman dengan memandu van yang dihiasi Jalur Gemilang. FOTO Zuhainy Zulkifli.
MOHAMAD Syukur memakai kostum Ultraman dengan memandu van yang dihiasi Jalur Gemilang. FOTO Zuhainy Zulkifli.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong turut berada di lokasi bagi menjayakan program pemberian Jalur Gemilang kepada pengguna jalan raya anjuran Jabatan Penerangan Malaysia bersama petugas barisan hadapan di SJR itu.

Soffian ketika ditemui berkata, dia amat menghargai inisiatif lelaki berkenaan bagi menjayakan sambutan Hari Kebangsaan mengikut kreativiti tersendiri.

"Ramai yang menghiasi Jalur Gemilang pada kenderaan masing-masing namun mereka perlu pastikan keselamatan dan undang-undang dipatuhi.

"Jangan kita ghairah menghias kenderaan tetapi mengabaikan keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Ogos 2021 @ 6:13 PM